KUALA LUMPUR 31 Julai – Kerjasama UMNO dan Pas bukan dasar persetujuan atau perkongsian kuasa politik sebaliknya berlandaskan Ta’awun Islami iaitu prinsip al-Quran seperti bekerjasama dan tolong menolong sesama kita atas dasar kebaikan dan taqwa dan bukannya bekerjasama dalam perkara dosa dan bermusuhan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama antara kami bukanlah perkara baru, kerana sebelum ini juga pernah kami bekerjasama.
“Sebagai contoh hari ini kami dan Pas bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan kebajikan contoh dalam soal Palestin,Syria dan mengangkat martabat mahkamah syariah.
“Sebelum ini pernah bekerjasama dengan Pas pada tahun 1991 isu mengangkat martabat syariah menyatakan sokongan apabila UMNO pada peringkat awal memperkenalkan akta 355 (berkenaan bidang kuasa jenayah bagi mahkamah syariah).
“Itu bukti yang Pas dan UMNO boleh kekerjasama dalam melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam,” katanya ketika berbicara dalam program Sembang Online di Ibu Pejabat Utusan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf memberitahu ada beberapa perkara yang membuatkan Pas dan UMNO tidak boleh bekerjasama dan bertolak ansur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Namun begitu, katanya, ada beberapa perkara lain yang membolehkan Pas dan UMNO berkompromi dan tidak mustahil dapat bersatu pada masa akan datang.
“Saya percaya kalau kita mempunyai keikhlasan dan kejujuran dan kita meletakkan kepentingan Islam itu lebih tinggi dari segalanya-galanya, suatu hari nanti kita boleh bekerjasama dengan lebih luas lagi.
“Pas dilihat lebih rasional dalam hal Sungai Kandis apabila memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional,” katanya.
Tambahnya, Pas dan UMNO sememangnya rapat kerana kedua parti ini tak ubah seperti adik beradik cuma berbeza idealogi dan berpisah dari segi politik.
“Manakan tidak Pas itu juga dilahirkan dari rahim UMNO. Kita tidak boleh nafikan berpisahnya Pas dan UMNO adalah kerana Ahmad Fuad keluar daripada UMNO dan membentuk Pas selepas kekalahan dalam pemilihan parti,” katanya.
Pas dan UMNO berkongsi idealisme, aqidah dan citra yang sama cuma pendekatan dan keutamaan yang membezakan. – UTUSAN ONLINE










