SHAH ALAM 24 Julai – Barisan Nasional (BN) menyindir kerajaan Pakatan Harapan sebagai tidak serius dalam memperbaiki kualiti pendidikan negara dengan lebih mengutamakan kaki melalui pelaksanaan pemakaian kasut hitam mulai tahun depan.
Sindiran itu dilontarkan Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan ekoran pengumuman Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini yang mahu melaksanakan peraturan pemakaian kasut hitam bagi semua pelajar sekolah mulai tahun depan.
“Saya tidak tahu nak cakap apa. Menteri (Maszlee) saya fikir mahu mengubah dasar pendidikan melalui kepala (idea atau pemikiran), tetapi beliau buat melalui kaki.
“Entah apa yang difikirkannya. Apa perkiraan beliau pakai untuk meningkatkan dasar pendidikan negara,” katanya di hadapan lebih kira-kira 1,000 jentera BN dalam Program Pengenalan Calon dan Pengerahan Anak Angkat BN Bahagian-Bahagian Selangor di Kampung Sungai Kandis, di sini malam semalam.
Hadir sama ialah Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Program itu turut disertai calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.
Pada 19 Julai lalu, Maszlee membuat pengumuman penukaran pemakaian kasut berwarna putih kepada hitam bagi semua pelajar sekolah di negara ini.
Peraturan itu menurut beliau dibuat selepas mengambilkira pandangan serta keluhan para ibu bapa selain mahu meningkatkan keceriaan para pelajar. – UTUSAN ONLINE










