IPOH 10 Julai – Kerajaan negeri tidak mengetahui masalah kewangan yang dihadapi oleh Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi di sini sehingga memaksa pengasas dan pengetuanya, Datuk Mohd. Kazim Elias menjual Unit Tahfiz di kompleks pusat pendidikan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, beliau tidak menerima sebarang laporan atau dimaklumkan perkara berkenaan oleh sesiapa termasuk daripada Mohd. Kazim sendiri atau wakilnya.
Menurutnya, jika pusat pendidikan itu memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri, mereka boleh berjumpa secara terus dengan beliau pada bila-bila masa untuk berbincang.
“Kalau mahu bantuan tidak ada masalah, boleh jumpa terus dengan saya. Ini jumpa pun tidak, saya pun tak tahu masalah yang dihadapi sebab mereka tak pernah berhubung dengan saya.
“Sesiapa pun boleh jumpa dengan saya bukan Al-Barakah sahaja. Kita akan lihat keperluan, kalau kita boleh bantu, kita akan bantu selesaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias hari ini mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi kerana masalah kewangan.
Mohd. Kazim yang juga pengetua dan pengasas pusat itu berkata, pihaknya terpaksa membuat keputusan tersebut setelah tidak mampu lagi menampung kos pentadbiran Unit Tahfiz berkenaan.
Difahamkan masalah kewangan tersebut berlaku akibat Mohd. Kazim kurang menerima jemputan berceramah agama yang dipercayai disebabkan faktor perbezaan politik apabila tokoh agama terkemuka itu sebelum ini dilihat cenderung menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) . – UTUSAN ONLINE.









