Kerajaan negeri galakkan makan buah sebelum nasi - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri galakkan makan buah sebelum nasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Orang ramai di negeri ini diminta mengamalkan makan buah-buahan sebelum menikmati hidangan makanan utama termasuk nasi dalam kehidupan seharian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, amalan itu elok untuk kesihatan selain menepati kaedah sunnah nabi bagi umat Islam.

Kata beliau, kerajaan Negeri Sembilan malah akan melaksanakan kempen memakan buah-buahan sebelum menikmati hidangan makanan dalam majlis yang dianjurkannya.

“Kerajaan negeri berhasrat menukar cara makan orang ramai dengan menghidangkan buah-buahan terlebih dulu sebelum sajian utama dihidangkan.

“Amalan makan buah-buahan sebelum makan nasi boleh kita lakukan pada majlis rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Lebihkan Memakan Buah-Buahan Tempatan peringkat sekolah-sekolah Negeri Sembilan 2018 di sini hari ini.

Lebih 300 pelajar dari 42 sekolah rendah dan 38 sekolah menengah di negeri ini menyertai kempen anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN