KUALA LUMPUR 13 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh ‘menulis’ semula perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam, Melayu termasuk hak biasiswa bumiputera atas dasar kesamarataan.
Bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, ini kerana perkara tersebut adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama demi mencapai kemerdekaan.
Sebagai contoh, katanya, peruntukan sebanyak RM2 bilion yang dikhaskan sebagai biasiswa kepada pelajar bumiputera tidak boleh diganggu atas alasan meritokrasi.
“Ada perkara yang boleh kita kompromi demi kepentingan rakyat Malaysia, tapi jangan sesekali menulis semula perkara yang terdapat di dalam Perlembagaan.
“Bagi saya perjanjian tetap perjanjian dan sosial kontrak adalah perjanjian yang menjadi hak milik bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku ‘Affirmative Action In Malaysia Paradigm Shifts In Higher Education’ yang disempurnakan oleh Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arsyad Ayub di sini, hari ini.
Buku tersebut adalah tulisan bersama Ibrahim dengan bekas pensyarah UiTM, Prof. Dr. R. Sankaran.
Mengulas lanjut, Ibrahim mencadangkan kerajaan untuk menaikkan nilai cukai terhadap perniagaan yang tidak boleh disertai oleh umat Islam dan wang tersebut digunakan bagi menampung biasiswa pelajar bukan bumiputera.
Katanya, cukai syarikat berkenaan sudah lama tidak dinaikkan oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE










