Kembali dengan kemabruran - Utusan Malaysia

Kembali dengan kemabruran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYUKUR alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah SWT dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam operasi haji tahun 1439 Hijrah ini. Ucapan tahniah buat semua bakal jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu-Nya.

Setiap tahun bakal jemaah pergi menunaikan fardu haji ke Mekah, bagi menyempurnakan Rukun Islam yang kelima. Bagi jemaah yang terpilih seharusnya bersyukur kepada Allah SWT kerana mereka telah dijemput oleh Yang Maha Kuasa untuk menjadi tetamu-Nya pada tahun ini.

Bagi yang belum terpilih, insya-Allah mereka bakal dijemput sebagai dhuyufurrahman pada tahun-tahun mendatang. Hikmah yang tersirat di sebalik ‘pemilihan’ ini hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya dan marilah bersama-sama mengambil kebaikan daripadanya.

NASIHAT KEPADA BAKAL TETAMU ALLAH

Sebelum berangkat, bakal jemaah seharusnya telah mempelajari ilmu-ilmu ibadah haji semasa menghadiri kursus-kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji (TH) seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji, Kursus Khas Haji dan Kursus Perdana Haji. Kursus-kursus ini bertujuan memberi suatu gambaran yang jelas tentang bagaimana cara melakukan ibadat haji sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Fahamilah hukum-hakam dengan betul dengan merujuk kepada:

  • Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) yang bertauliah semasa di tanah air
  • Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) pula semasa di Tanah Suci.

Kefahaman ibadat haji sangat penting kerana ia akan membawa ke arah haji yang mabrur. Penghayatan falsafah haji akan memberi impak kepada pelaksanaan ibadat yang betul dan sempurna sebagaimana maksud hadis:

“Ambillah amalan haji kamu seperti apa yang saya lakukan.”

Semasa di Tanah Suci, bakal jemaah haji perlu:

  • Memberikan kerjasama penuh kepada TH terutama semasa pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina agar mengikut jadual yang telah ditetapkan, mendengar dengan jelas penerangan serta panduan petugas TH.
  • Jemaah juga dilarang merokok di kawasan Masjidilharam kerana ia telah diwartakan sebagai zon larangan merokok.
  • Jemaah juga dinasihatkan supaya berhemah dalam perbelanjaan seharian.

JAGA ADAB SEBAGAI TETAMU ALLAH

Bakal jemaah haji seharusnya memiliki sifat sabar dan kemahiran kendiri yang mantap serta jangan mudah terpengaruh dengan pegangan selain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Juga perlu mengamalkan adab-adab sebagai tetamu Allah SWT dan menghayatinya.

Dengan subsidi haji tinggi yang diberikan oleh TH, diharapkan jemaah haji dapat memanfaatkan peluang yang bukan mudah untuk diperoleh ini dan membetulkan niat menunaikan haji seikhlas mungkin kerana Allah SWT semata-mata, bukannya sekadar untuk meraih gelaran ‘haji’ atau ‘hajah’ setelah pulang ke tanah air.

Selain itu, semasa di Tanah Suci bakal jemaah haji hendaklah menjaga kesihatan dengan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Petugas Rombongan Perubatan yang berada di sana dan memastikan pengambilan ubat berterusan seperti diamalkan di Malaysia.

Perlu diingatkan juga agar bakal jemaah haji membanyakkan meminum air yang mencukupi bagi menghalang daripada kejutan cuaca panas di Tanah Suci.

MANTAPKAN PERSEDIAAN

Diharapkan bakal jemaah haji telah membuat persediaan yang secukupnya dari aspek ilmu mental, spiritual dan fizikal supaya dapat menyempurnakan ibadah dengan lengkap dan berada di sana nanti dalam keadaan selesa, selamat serta sihat.

Betulkan niat kita dan tunduk kepada Allah SWT sebagai seorang hamba-Nya yang taat dan bersyukur pada setiap masa.

Semoga Allah mempermudah segala urusan persiapan, perjalanan dan pelaksanaan ibadat haji tuan-tuan dan puan-puan serta hayatilah slogan jemaah haji ‘Hadirku sebagai dhuyufurrahman, kembaliku dengan kemabruran.

Semoga para bakal jemaah haji kembali ke tanah air sebagai seorang yang lebih soleh wa musleh dan menambah manfaat kepada masyarakat serta negara selaras dengan konsep ayat “memberi rahmat sekalian alam”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN