Kejohanan bola keranjang 3 on 3 tawar hadiah - Utusan Malaysia

Kejohanan bola keranjang 3 on 3 tawar hadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 12 Julai – Kejohanan Bola Keranjang 3 on 3 yang akan diadakan di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, dekat sini pada Jumaat dan Sabtu ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM16,000.

Pertandingan anjuran Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Persatuan Bola Keranjang Johor (JSBA) dibahagikan kepada 14 kategori, antaranya mengikut umur 12, 14, 16, 18 dan 21 tahun selain kategori terbuka dan sekolah berasrama penuh bagi atlet lelaki dan wanita.

Tiga pemenang teratas bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai, pingat dan pelbagai bara­ngan sumbangan pihak penaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, IIB terpanggil untuk bekerjasama de­ngan JBSA dalam mempromosikan sukan bola keranjang 3 on 3 di negeri ini.

“Kepesatan pembangunan sukan bola keranjang 3 on 3 adalah antara yang terpantas di dunia terutamanya di bandar-bandar besar dan telah disenaraikan sebagai salah satu sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Salah satu misi kami untuk menerapkan gaya hidup sihat yang berteraskan sukan dalam kalangan penduduk di Iskandar Puteri, sekali gus mempromosikan kawasan ini sebagai destinasi sukan yang unggul,” katanya di sini baru-baru ini.

Khairil Anwar berkata, selepas Kuala Lumpur, Johor mempunyai banyak kemudahan sukan yang baik dan negeri ini amat bertuah kerana mempunyai ramai atlet baharu yang berbakat.

Justeru, beliau berharap menerusi inisiatif seperti itu, IIB dan JBSA dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut untuk ditampilkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Venue kejohanan itu juga merupakan sebuah kompleks sukan yang komprehensif, sekali gus menawarkan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa di Iskandar Puteri,” katanya.

Sementara itu, Presiden JSBA, Datuk Daniel Lee turut berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan IIB dalam penganjuran kejohanan yang diadakan julung kalinya di Iskandar Puteri.

“Ini adalah satu pencapai­an yang besar dalam pembangu­nan sukan bola keranjang di negeri ini. Kejohanan ini juga adalah platform terbaik untuk mengetengahkan bintang baharu selain berfungsi sebagai medan latihan bagi atlet profesional yang akan bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Perak pada September ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×