Kehadiran ke Dewan tidak memuaskan - Utusan Malaysia

Kehadiran ke Dewan tidak memuaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kehadiran menteri dan timbalan menteri ke sidang Dewan Rakyat.

Menurut beliau, menteri dan timbalan menteri perlu memperbaiki prestasi kehadiran mereka termasuk mempunyai alasan yang kukuh sekiranya tidak dapat hadir ke sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi menilai prestasi menteri dan timbalan menteri.

“Saya tidak pernah berasa puas hati dengan semua perkara, namun dalam perkara ini menteri dan timbalan menteri perlu memperbaiki prestasi kehadiran mereka di Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Perdana Menteri diminta me­ngulas sama ada beliau berpuas hati dengan bilangan kehadiran menteri dan timbalan menteri Pakatan Harapan dalam sidang Dewan Rakyat sejak ia bermula ming­gu lalu.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mengakui bahawa adalah tidak praktikal untuk menteri dan timbalan menteri untuk berada sepanjang masa ketika sidang Dewan Rakyat kerana masing-ma­sing turut mempunyai tugasan lain yang perlu dilaksanakan.

“Sidang Dewan Rakyat berlangsung hampir separuh hari untuk 20 hari dan amat sukar untuk mereka hadir dan berada sepanjang hari, itu tidak praktikal. Mereka juga perlu hadir tugasan yang lain,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ber­puas hati dengan diri sendiri ketika menjalankan tanggungjawab, Dr. Mahathir berkata, beliau sedang berusaha sebaik mungkin.

“Saya sudah menggunakan masa saya sebaik mungkin, kini saya bekerja 24 jam sehari. Jika dalam sehari mempunyai 36 jam mungkin saya juga akan bekerja selama itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN