ALOR SETAR – Pasukan Kedah tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah dinobatkan juara Liga Super musim 2018 pada perlawanan liga tersebut di Stadium Darul Aman di sini sebentar tadi.
Pasukan tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit keenam namun ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar gagal melakukan sentuhan hasil hantaran kemas Andik Vermansyah di hadapan pintu gol lawan.
Bagaimanapun, JDT berjaya mendahului perlawanan dengan memperoleh jaringan pertama menerusi pemain import, Gonzalo Gabriel Cabrera selepas menerima hantaran Fernando Marquez pada minit ke-21.
JDT berjaya mendapat gol kedua hasil tandukan Fernando Marquez yang tidak dikawal selepas mendapat hantaran Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada minit ke-38.
Skuad Helang Merah berpeluang untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-64 menerusi sepakan penalti Paulo Rangel namun berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias.
Sepakan penalti itu diperoleh selepas pemain Kedah, Mohd. Rizal Ghazali dijatuhkan pertahanan JDT, La Vere Lawrence Corbin Ong dalam kotak penalti.
Skuad Kedah sekali mendapat sepakan penalti selepas Ranger dijatuhkan Marcos Antonio Elias Santos dan Sandro da Silva berjaya melakukan sepakan kemas pada minit ke-78. – K! ONLINE











