MELAKA – Seorang pekerja syarikat barangan lusuh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuai menyebabkan kebocoran gas klorin sehingga penduduk di Kampung Tambak Paya, Tiang Dua di sini dikejarkan ke hospital pada tahun lalu.
Chai Boon Wua, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.
Boon Wua didakwa dengan sengaja menyebabkan kebocoran sebuah tong gas klorin No. ABCT 592 hingga membahayakan nyawa penduduk Kampung Tambak Paya akibat terhidu gas yang beracun berkenaan.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Tambak Paya pada pukul 3.30 petang, 28 September 2017.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2, 000 ke atas Boon Wua yang diwakili peguam Foo Qiao Wei dan menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula.
Pada 29 September tahun lalu, Kosmo! melaporkan seramai 35 penduduk Kampung Tambak Paya menerima rawatan di Hospital Melaka dan lima lagi di Hospital Jasin selepas terhidu gas klorin yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan tujuh tong mengandungi bahan kimia yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab berhampiran kawasan tersebut. – K! ONLINE










