ATHENS 26 Julai – Ketika angka korban akibat kebakaran hutan terburuk di Greece semakin meningkat, mangsa yang terselamat di sebuah hospital terbesar dekat sini menceritakan kembali detik-detik sukar sewaktu berdepan bencana tersebut.
The Guardian melaporkan, bencana berkenaan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 81 maut, lebih 180 lagi cedera manakala puluhan lagi hilang, mula memberi kesan kepada mereka yang terselamat.
“Kesedihan, keperitan. Kami semua bersedih, tetapi tiada siapa yang tahu mengenai perasaan kami,” kata salah seorang mangsa yang terselamat, Maria Dionysioti.
Dalam tempoh hanya 48 jam, Dionysioti kehilangan seorang cucu, dua sepupu serta anak-anak mereka dan semua harta manakala anak perempuannya, Margarita ‘sedang berjuang untuk meneruskan hidup’.
“Cucu saya baru berusia enam bulan. Dia meninggal dunia dalam pelukan Margarita dan kini anak perempuan saya berada dalam unit rawatan rapi (ICU).
“Kami menemukan mereka berdua di laut selepas lima jam kebakaran merebak di Mati,” kata Dionysioti sambil dikelilingi oleh saudara-mara dan rakan-rakan di Hospital Evangelismos.
Hampir 48 jam telah berlalu sejak kebakaran hutan yang merebak dengan pantas akibat angin kencang di kampung tepi laut, Mati, kira-kira 25 kilometer ke timur Athens.
“Kami tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Rumah saya hangus terbakar, begitu juga rumah anak perempuan saya.
“Anak perempuan kepada sepupu saya, Grigoris, merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun yang melompat dari tebing. Seorang lagi sepupu saya, mati rentung dalam kereta bersama isteri dan anaknya. Beberapa anggota keluarga saya juga hilang,” kata Dionysioti.
Bencana tersebut merupakan yang kedua terburuk melanda dan memerlukan masa selama beberapa tahun untuk kembali pulih.










