PASIR PUTEH 8 Julai – Pokok gelam yang tumbuh meliar sejak beratus tahun lalu di sekitar kampung Gong Tengah, Semerak, dekat sini, kini memberi hasil lumayan kepada penduduk setempat apabila mendapat permintaan yang tinggi sejak kebelakangan ini.
Pengusaha kayu gelam, Rozali Mamat, 55, berkata, sebelum ini pokok berkenaan adalah pilihan utama pengusaha arang untuk menghasilkan bahan bakar yang bermutu tinggi.
Menurutnya, kini kayu gelam lebih bernilai tinggi untuk penghasilan palet dan perabut yang sering mendapat tempahan pengilang dari luar daerah ini.
“Walaupun pengusaha arang tidak ramai, kita terpaksa bersaing merebut pasaran yang semakin mengecil, jadi daripada membuat arang, saya memilih jalan berbeza menghasilkan palet untuk dijual ke kilang-kilang yang sebelum ini banyak membuat tempahan.
“Segalanya bermula 18 tahun lalu, ketika itu saya tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara keluarga sehingga timbul idea memanfaatkan pokok liar ini sebagai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, hari ini.
Rozali memberitahu, tekadnya untuk menjadi pengeluar palet daripada pokok gelam untuk menggantikan pokok pine yang semakin meningkat harganya akhirnya tercapi.
Bapa kepada sembilan anak berusia dari 19 hingga 30 tahun itu berkata, selain mengahasilkan palet, dia juga menjadi pembekal kayu pokok gelam kepada sebuah kilang di Pengkalan Chepa.
“Saya tidak mampu untuk menghasilkan palet semuanya kerana untuk memotong pokok gelam agak sukar disebabkan struktur kayunya yang terlalu keras maka sebahagian daripada kayu yang diproses dihantar ke kilang tersebut.
“Daripada itu saya dapat berkongsi sumber pendapatan dengan mengambil 10 pekerja di kilang berhampiran rumah, kini kami mengeluarkan 1,000 palet kayu gelam pada setiap bulan tetapi jumlah itu tidak mencukupi kerana permintaan yang tinggi,” katanya.
Katanya, selain daripada mencari sendiri pokok gelam, dia turut membeli bahan asas untuk membuat palet tersebut daripada penduduk kampung di sekitar Kampung Gong Tengah dan kawasan yang berhampiran.
“Biar secara kecil-kecilan namun perusahaan ini memberikan pendapatan yang lumayan kepada penduduk kampung yang membekalkan kayu gelam kepada saya.
“Setiap palet dijual dengan harga RM18 dan permintaan bukan sahaja dari dalam negeri ini malah pihak industri dari Pahang, Johor dan Selangor untuk membuat tempahan,” katanya.










