Kapten Mohana Chandran wira dalam pertempuran ‘hujan’ peluru - Utusan Malaysia

Kapten Mohana Chandran wira dalam pertempuran ‘hujan’ peluru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semasa usaha mencari kem musuh di dalam hutan giat dijalankan, pasukan Kapten V. Mohana Chandran terserempak dengan sekumpulan Orang Asli yang memberi maklumat bahawa komunis sedang mendirikan kem menggunakan gergaji rantai, menunjukkan satu kem latihan besar-besaran sedang dibina.

Setelah Ejen Khas Kerajaan yang merupakan bekas pengikut komunis mengesahkan bahawa terdapat laluan musuh di sepanjang perjalanan itu, Mohana Chandran meminta ban­tuan daripada markas batalion untuk me­lakukan satu serangan secara besar-besaran, satu serangan ba­talion.

Pegawai Risik yang bertugas di markas batalion ketika itu, Datuk Azmi Abdul Hamid Bidin berkata, antara permintaan Mohana Chandran adalah untuk melancarkan serangan secara batalion terhadap musuh.

Pelan pertempuran yang dicadangkan oleh beliau adalah melibatkan tembakan bertubi-tubi da­ripada jet pejuang udara, tembakan sokongan meriam 105 milime­ter, tembakan bertubi-tubi soko­ngan daripada mortar 81 milimeter.

Beliau turut memohon supaya serangan dilambatkan selama 24 jam untuk memberi masa kepada pasukan-pasukan yang membuat cut off untuk bersedia rapidan kumpulan kompeni beliau sen­diri untuk sampai dan bergabung dengan beliau sebagai kumpulan me­nyerang.

“Lima alpha, permohonan untuk me­lambatkan serangan selama 24 jam ditolak dan kamu dikehendaki menyerang pada jam 2.30 petang.

“Itulah arahan terakhir saya yang akan saya kenang sampai bila-bila kepada Mohana Chandran melalui radio set,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, ke­adaan agak tegang di Markas Batalion dalam membincangkan strategi dan keselamatan anggota-anggota yang akan menyerang itu.

“Dalam keadaan tegang kami berbincang, kerana kami tahu tidak mungkin dengan kekuatan lima orang yang mana lima anggota selebihnya menjadi kumpulan cut off untuk menyerang musuh seramai 60 orang, mana mungkin.

“Malah dalam mengikut sistem konvensional, kalau musuh ada satu, yang menyerang sepatutnya tiga. Kalau mereka 60 orang, kami sepatutnya 180 orang,” katanya.

Kata Azmi lagi, pada ketika itu, Mohana Chandran langsung tidak membantah dan bertindak mengikut arahan walaupun sedar nyawanya mungkin melayang dan sedar bahaya yang dihadapinya.

“Selepas 28 minit saya mengarahkan beliau untuk menyerang, saya menerima panggilan menerusi radio set mengatakan pertembungan telah berlaku.

“Apabila saya bertanyakan status, mereka hanya menjawab ‘sunray kilo India alpha’. Ini membawa makna yang sangat besar pada tentera iaitu Kill In Action, bermaksud ketua telah terbunuh,” katanya.

Tambah Azmi, ketika itu pera­saannya sangat bercampur baur dan sangat sedih kerana dapat mengagak siapa yang terbunuh tetapi sebagai anggota tentera, beliau menahan perasaannya.

“Saya membalas pada radio set ‘eja nama yang telah terbunuh’ dan anggota yang membalas mengeja nama Mohana Chandran menggunakan kod ejaan tentera.

“Saat itu tidak akan saya lupakan. Saya sa­ngat sedih dan kagum di atas keberanian dan ke­taatan Mohana Chandran kepada arahan demi keselamatan tanah air sungguh pun terpaksa mengorbankan nyawa­nya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×