LONDON – Bekas pemain antarabangsa England, Gary Neville mendakwa Harry Kane mengalami masalah kecederaan sejak bermain pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018 di Rusia.
Neville berkata, beliau melihat penyerang skuad The Three Lions itu tidak beraksi seperti biasa ketika tewas 1-2 kepada Croatia pada peringkat separuh akhir Piala Dunia di Stadium Luzhniki, Moscow kelmarin.
Kane yang menjaringkan enam gol di Rusia dan menyamai rekod bekas penyerang England, Gary Lineker dalam satu kejohanan dilihat bergelut dengan prestasi sebenar ketika England tewas kepada Croatia dalam masa tambahan.
Mengulas lanjut, Neville berkata, beliau percaya bintang Tottenham Hotspur itu ditimpa masalah kecederaan sepanjang bermain tiga perlawanan terakhir pada Piala Dunia edisi ke-21 itu.
“Saya sangat kagum jika kita tidak mempelajari sesuatu bahawa Kane sebenarnya mengalami masalah kecederaan sejak aksi bertemu Colombia (pusingan 16 pasukan terbaik).
“Sejujurnya, saya sangat kagum. Dia langsung tidak bergerak pada aksi separuh masa kedua menentang Croatia.
“Menentang Sweden, Kane cukup statik dan ini bukan alasan dan kita semua sendiri lihat Kane tidak bermain seperti biasa sebelum ini,” ujarnya. – Agensi










