KUALA LUMPUR 23 Julai – Kadar jualan asing di Bursa Malaysia menjadi semakin perlahan untuk empat minggu berturut-turut, menjadikannya penjualan mingguan paling kecil dalam 2018.
Menurut MIDF Research, berdasarkan data awal daripada Bursa yang mengecualikan tawaran luar pasaran, jumlah yang dijual oleh dana global minggu lepas telah berkurang lebih separuh daripada RM531.8 juta kepada RM247.1 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur global merupakan penjual bersih setiap hari kecuali pada Rabu yang menyaksikan aliran masuk asing berjumlah RM71.7 juta, yang pertama sejak 29 Jun.
“Bursa Malaysia kemudian ditutup 0.91 peratus lebih tinggi pada 1,753 mata pada Rabu dan trend peningkatan itu turut direkodkan pasaran Asia lain antaranya Korea Selatan, Taiwan dan Filipina,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research di sini hari ini.
Tambahnya, Bursa Malaysia pada Khamis merekodkan jualan asing bersih tertinggi untuk minggu lalu pada kadar AS$95.6 juta (RM387.7 juta)
“Indeks FBM KLCI merekodkan peningkatan untuk sembilan hari pada hari yang sama disokong oleh kenaikan saham-saham pembinaan berikutan pengumuman mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan ditangguhkan bukannya dibatalkan,” kata MIDF.
Bagaimanapun MIDF Research berkata, penurunan aliran keluar dana asing berjumlah RM64.6 juta pada Jumaat adalah turut disebabkan oleh penurunan 0.26 peratus dalam FBM KLCI berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham telekomunikasi kerana mereka mencatat kerugian.
“Aliran keluar bersih asing terkini Malaysia telah mencapai RM8.31 bilion atau AS$2.07 bilion, mengimbangi kira-kira 80 peratus daripada aliran masuk RM10.33 bilion tahun lepas.
“Walau bagaimanapun, angka itu masih merupakan aliran keluar yang kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN dan di bawah Filipina yang mempunyai aliran keluar bersih berjumlah AS$1.31 bilion (RM5.31 bilion).
“Penyertaan dalam kalangan pelabur asing, peruncit dan dana institusi tempatan terus meyakinkan kerana setiap daripada purata nilai dagangan harian mereka (ADTV) berada pada paras melebihi RM1 bilion, RM800 juta dan RM2 bilion masing-masing,” kata MIDF.










