June Wei pengganti Chong Wei - Utusan Malaysia

June Wei pengganti Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan apabila menamakan pemain pelapis kebangsaan yang menduduki ranking ke-81 dunia, Cheam June Wei bagi membawa cabaran negara ke Sukan Asia 2018 di Palembang dan Jakarta, Indonesia bulan depan.

Pemilihan pemain berusia 21 tahun itu adalah bagi menggantikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar kecil) berkata, keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) selepas menilai beberapa faktor utama selain mengambil kira kecederaan yang dialami seorang lagi pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

“Sebagaimana yang kita maklum, beberapa nama telah dikemukakan dan me­nurut keputusan yang dibuat C&T untuk dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kita mungkin akan mengetengahkan Cheam June Wei sebagai pengganti.

“Kita (BAM) akan menghantar nama beliau dan memohon kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) untuk membuat pertukaran secepat mungkin walaupun proses penamaan itu telah ditutup. Namun, ia ada pengecualian bagi kes-kes tertentu yang melibatkan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pakaian rasmi Asia Pacific Masters Game 2018 di Kuala Lumpur semalam.

Antara pencapaian terbaik June Wei adalah menjuarai Kejohanan Terbuka Belanda pada April lepas, selain muncul naib juara Terbuka Finland (April) dan Terbuka Austria (Februari).

Pada masa sama, Mohamad Norza mengakui ketiadaan Chong Wei ternyata memberi impak terhadap sasaran pingat yang diletakkan ke atas skuad badminton negara di Indonesia.

“Dari segi sasaran pingat, sebelum ini kita sasarkan tiga, namun memandangkan Chong Wei tidak dapat bersama-sama, sasaran itu diturunkan kepada dua pingat. Tidak kira apa warna pingat sekalipun,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan mengenai tahap kesihatan Chong Wei hanya akan dimaklumkan dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan dari sekarang.

“Saya sentiasa berhubung dengan beliau (Chong Wei) dan buat masa ini beliau sedang menjalani proses rawatan, jadi seba­iknya kita biarkan dan berikan ke­sempatan untuk beliau meluangkan masa bersama keluarga.

“Mungkin kita (BAM) akan maklumkan mengenai perkembangan kesihatannya dalam masa tiga minggu ke satu bulan dari sekarang,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN