Johor bakal naikkan harga air - Utusan Malaysia

Johor bakal naikkan harga air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan menaikkan harga jualan air mentahnya kepada Singapura pada nilai yang berpatutan dan sesuai dengan keadaan semasa.

Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian berkata, harga baharu itu berkemungkinan sama dengan kadar jualan air mentah yang ditetapkan untuk kerajaan Melaka iaitu 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

“(Harganya) mungkin kurang sedikit daripada harga itu tetapi tidaklah kekal seperti sekarang. Saya rasa kalau kita (kerajaan Johor) ingin menaikkan harga yang agak munasabah dan berpatutan, kita harap kerajaan Singapura akan menerimanya,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudiannya membeli semula sebahagian daripada bekalan itu yang telah dirawat pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Osman menambah, perkara tersebut telah beliau bincangkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada minggu lalu.

Namun, belum ada sebarang kata putus dibuat, katanya.

“Kita masih dalam perbincangan kerana perlu meneliti perjanjian yang sedia ada dan selepas habis menelitinya, mungkin kerajaan Malaysia termasuk saya sendiri akan berbincang lebih lanjut dengan kerajaan Singapura,” katanya.

Kosmo! pada 26 Jun melaporkan, Mahathir melalui temu bualnya dengan Channel News Asia menyifatkan harga semasa jualan air kepada republik itu sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana tidak bersesuaian dengan keadaan semasa.

Sehubungan itu, beliau mahu rundingan semula dibuat terhadap terma perjanjian air yang ditandatangani Malaysia dan Singapura.

Dalam pada itu, kira-kira 395,000 rakyat Johor berpendapatan rendah di negeri Johor bakal menikmati air percuma pada awal September depan.

Osman berkata, pelaksanaan itu yang melibatkan perbelanjaan RM25 juta setahun sudah diluluskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri kelmarin. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN