Rabu lalu kecoh satu Malaysia bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah ditangkap di China.
Berita menggembirakan lebih separuh rakyat Malaysia itu dipetik oleh akhbar-akhbar negara ini menerusi portal berita Sarawak Report.
Malangnya sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesahkan mengenai penangkapan lelaki berasal dari Pulau Pinang dan popular dengan panggilan Jho Low berusia 37 tahun itu.
Isu 1MDB mempunyai pengaruh besar dalam mencorak politik Malaysia. Antara kesan terbesar dan terbukti ialah 1MDB telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang berlangsung pada Mei lalu.
Selepas PRU-14, pengaruh dan kontroversi 1MDB belum berakhir malah semakin memuncak kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk merungkai misteri dalam syarikat pelaburan strategik kerajaan yang didakwa telah menyebabkan negara kehilangan wang berjumlah puluhan bilion ringgit.
Ke arah menunaikan manifesto tersebut, kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Julai lalu. Keempat-empat pertuduhan tersebut hanya berlegar-legar pada pertuduhan melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan anak syarikat 1MDB iaitu SRC International.
Kerajaan baharu tersebut dilihat belum dan masih sukar membongkar misteri dalam 1MDB yang didakwa hampir menyebabkan negara muflis. Malah ada khabar angin bahawa pihak pendakwaan menghadapi kesukaran membuktikan kesalahan yang dilakukan Najib sehingga mahkamah menetapkan kes tersebut untuk sebutan semula pada tahun 2019.
Di sebalik khabar angin penangkapan Jho Low, muncul penulis blog iaitu Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown sengaja menyebar berita penangkapan palsu itu bagi mensabotaj kerajaan pimpinan Dr. Mahathir.
Mengikut bloger berkenaan, jika Jho Low ditangkap, lelaki itu akan menjadi ‘saksi negara’ dan akan memberikan keterangan yang tidak memihak kepada Najib selain turut diberi imuniti daripada pendakwaan malah berpeluang menyimpan sebahagian besar wang yang telah dicuri daripada 1MDB. Begitulah ‘istimewaannya’ Jho Low dalam skandal IMDB.
Raja Petra turut mendakwa Tun Daim Zainuddin dan Jho Low sepatutnya mengadakan ‘perjumpaan rahsia’ di China bagi membincangkan mengenai kedudukan ‘saksi negara’ tersebut. Tetapi apa yang berlaku rancangan perjumpaan berkenaan telah diketahui Clare lalu wanita itu membuat berita palsu mengenai penangkapan Jho Low.
Tindakan mensabotaj dilakukan Clare kerana wanita itu didakwa tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu yang tidak mengenakan tindakan ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dipercayai berkaitan dakwaan pemilikan kekayaan oleh lelaki berkenaan.
Pendedahan yang dibuat Raja Petra berkaitan Clare itu walaupun tiada pengesahan namun sedikit sebanyak mengganggu pemikiran rakyat yang mengikuti perkembangan 1MDB daripada dekat.
Antara persoalan yang timbul sudah pasti mengenai siapa wanita bernama Clare yang dilihat sudah lama melibatkan diri dalam hal ehwal Malaysia. Clare warga Britain itu dilihat pernah menentang kerajaan di bawah pimpinan Najib dengan menyiarkan laporan-laporan ekstrem mengenai 1MDB. Ekoran itu, Clare pernah diletakkan oleh PDRM sebagai orang dikehendaki pada tahun 2015 atas dakwaan menerbitkan laporan palsu yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Sebaik BN kalah dalam PRU-14 dan Dr. Mahathir mengambil alih pentadbiran negara, wanita itu dengan gembira dilihat kembali semula ke negara ini.
Bagaimanapun, perbuatan Clare mensabotaj Dr. Mahathir mengenai penangkapan Jho Low menimbulkan seribu persoalan. Antaranya apakah motif Clare bertindak demikian. Lebih penting apakah pendirian Clare terhadap pentadbiran Dr. Mahathir selepas ini.
Walau apa sekalipun isu mengenali Clare, rakyat negara ini sebenarnya amat berharap untuk mengetahui kebenaran di sebalik kemelut 1MDB, peranan Najib dan ahli keluarganya dalam kerugian syarikat tersebut serta sudah tentu mengenai ‘keistimewaan’ Jho Low dalam 1MDB.










