Jenazah Yusuf Al Baihaqi selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Yusuf Al Baihaqi selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Jenazah bayi berusia 4 bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu di bawah jagaan sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak(Taska) di Bukit Baru, Melaka semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat, Melor di sini pagi tadi.

Jenazah Yusuf Al Baihaqi Zainal Abidin yang merupakan anak pasangan seorang guru dan anggota polis itu disembahyangkan di Masjid Pengkalan Rama dan selesai disemadikan kira- kira pukul 9.42 pagi.

Menurut Zainal Abidin Deraman, 34, meski pun ralat dengan kehilangan anak lelakinya yang ditunggu sejak lapan tahun lalu namun mereka sekeluarga reda dengan kejadian ini.

“Bagi saya, kakak dia umur 8 tahun, perbezaan umur yang jauh jadi rasa ralat tunggu lama dan berlaku begini.

“Namun, saya tidak salahkan taska, pengasuh. Tunggu laporan penuh hasil bedah siasat yang selesai pada pukul 1 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, doktor memaklumkan berkemungkinan anak keduanya meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

“Kesan dera atau penyakit lain memang tiada. Saya juga sudah berjumpa dengan pemilik taska yang berdaftar itu,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu semasa di bawah jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bukit Baru, Melaka.

Mangsa, Yusuf Al Baihaqi Zainal Abidin meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari ketika menerima rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Melaka. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN