KUANTAN – Rakyat Malaysia diminta untuk tidak terperangkap dalam ‘minda perpecahan’ yang dimainkan sesetengah pihak dalam isu pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pelantikan Richard yang juga bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak dibuat berdasarkan merit dan kelayakan beliau.
“Kita rakyat Malaysia jangan terperangkap dalam minda perpecahan yang dibawa pentadbiran lama yang cuba memecah-belahkan kita. Kita di Pakatan Harapan melantik berdasarkan merit.
“Beliau (Richard) yang paling layak dan sebelum ini pun beliau memangku (jawatan tersebut). Kenapa tidak? Kita tidak mengamalkan diskriminasi. Kita kena maju ke hadapan dan ini adalah Malaysia Baharu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., pelabur terbesar di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak dalam pelantikan Richard yang tersebar di laman media sosial ekoran beliau pernah menghakimi kes melibatkan agama Islam dan seorang bukan Melayu. – Bernama











