SEMAKIN hari semakin mengarut, pelbagai dalih dicipta Pakatan Harapan untuk menutup kegagalan mereka menunaikan janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan Sungai Kandis menjadi saksi kepada ‘kebobrokan’ tersebut.
Setelah pelbagai dalih sebelum ini dipatahkan rakyat, mereka tampil pula meminta orang ramai agak realistik dalam menuntut kerajaan menunaikan janji. Soalnya mengapa beban realistik itu hanya dipertanggungjawabkan ke atas bahu rakyat?
Mengapa ketika sedap menaburkan janji yang bersifat bulan dan bintang itu, soal realistik tidak diambil kira? Lebih malang, apabila rakyat bangkit bersuara menuntut kepada janji, Barisan Nasional (BN) pula yang dipersalahkan oleh Pakatan Harapan.
Itulah yang berlaku kelmarin. Pemimpin yang memberi dalih itu bukan sebarangan tetapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sendiri. Beliau menjadikan BN sebagai dalih apabila soal janji dibangkitkan di Sungai Kandis.
Kepada Wan Azizah, adalah tidak wajar untuk isu janji Pakatan Harapan dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis kerana dakwanya, BN lebih lama memerintah negara ini dan lebih banyak janji-janji yang tidak ditunaikan.
Ingatkan perangai menyalahkan BN sebagai taktik melarikan diri ini sudah dibuang jauh-jauh oleh para pemimpin Pakatan Harapan setelah dikritik hebat netizen, tetapi rupa-rupanya tidak. Malah Wan Azizah sendiri memilih untuk mengulanginya.
Ironinya di Sungai Kandis, pelbagai janji-janji manis baharu juga turut ditabur calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dalam usahanya memikat hati pengundi walaupun beliau sendiri sedar janji dalam manifesto pun masih gagal ditunaikan.
Namun, itulah resam orang politik yang gemar menjadikan janji sebagai pakaian. Sebab itu ‘pakaian’ tersebut mudah ditukar ganti setelah apa yang dihajati digapai kerana mereka sendiri sedar, berjanji adalah seni politik paling mudah.
Kini segala-galanya terletak kepada pengundi di Sungai Kandis apakah mahu terus terbuai dengan janji atau bangkit menghukum mereka yang memungkiri, kerana jika ayahnya kencing berdiri tidak mustahil anaknya pula kencing berlari.










