Jangan dilalaikan oleh media sosial! - Utusan Malaysia

Jangan dilalaikan oleh media sosial!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM zaman teknologi serba maju ini, penggunaan media sosial terutama Facebook, Instagram dan Twitter merupakan satu kelaziman dan dalam beberapa keadaan tertentu ia adalah satu keperluan.

Namun dalam soal ibadah, terdapat banyak pendapat berhubung tindakan memuat naik gambar-gambar atau status mengenai amalan masing-masing dalam media sosial.

Status paling lazim dalam soal ibadah termasuk ‘#donesolat’ atau ‘#donebukapuasa’ berserta gambar swafoto bertelekung serta menu berbuka puasa. Itu belum dikira gambar-gambar swafoto di hadapan Kaabah semasa mengerjakan umrah dan haji.

Alasan paling biasa apabila berkongsi status dan gambar-gambar berkenaan adalah untuk berkongsi dan mengajak friends atau followers untuk beribadah, manakala ada yang menganggapnya sebagai riak.

Namun, bagaimana pula dalam soal ibadah haji?

Perlukah jemaah ‘sibuk’ memuat naik status dan gambar-gambar semasa menunaikan Rukun Islam kelima itu sedangkan setiap saat yang berlalu amat berharga kerana tempoh mengerjakan haji hanya lima hari sahaja.

Antara aduan yang sering diterima semasa tempoh masyair haji termasuk semasa wuquf adalah tiada capaian akses terhadap talian komunikasi.

Bayangkan dengan dua atau tiga juta umat Islam berkumpul di Arafah dan Mina dan masing-masing cuba mengakses Internet, sudah tentu berlaku kesesakan talian.

Dalam hal ini, Pembimbing Ibadat Haji, Ramli Ibrahim menasihatkan jemaah agar fokus kepada ibadat haji masing-masing dan meninggalkan sekejap gajet kerana haji merupakan pelengkap kepada Rukun Islam.

Oleh itu, apa sahaja perkara yang boleh mengurangkan konsentrasi atau khusyuk dalam melakukan ibadah semasa tempoh masyair haji perlu dijauhi.

Menurut Ramli, penggunaan media sosial secara berlebihan boleh melalaikan tujuan asal ke Tanah Suci seterusnya menghalang fokus jemaah daripada mendapat haji mabrur.


MUHASABAH DIRI

Justeru, mengapa melakukan perkara yang boleh mencacatkan mutu ibadah sedangkan kita sudah berhabis wang ringgit dan tenaga bagi mengerjakan ibadah haji.

Oleh itu lakukannya sebaik mungkin dan penuh tawaduk agar ibadah yang dilakukan tidak menjadi sia-sia. Ini bertepatan dengan sifat yang digambarkan oleh Allah SWT terhadap mereka yang berjaya:

“Sesungguhnya beruntung orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna,” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3).

Ayat ini boleh dikaitkan dengan pelaksanaan haji iaitu untuk mendapatkan ibadat berkualiti perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan khusyuk kerana Allah.

Dalam hal ini, kata Ramli, jemaah perlu memastikan mereka tidak terjebak dengan perkara lagha (lalai) yang boleh mencacatkan mutu ibadah mereka.

Oleh itu, ketepikan dahulu media sosial, fokuskan kepada solat dan ibadah lain semasa di Tanah Suci. Lagi pun haji hanya lima hari, jika terlepas peluang untuk berdoa dan solat sebanyak-banyaknya mana boleh diulang semula tempoh itu.

Perlu tunggu tahun depan untuk buat haji sekali lagi, Itu pun jika ada rezeki ‘dipanggil’ semula oleh Allah.

Dengan tempoh menunggu haji yang lama bagi rakyat Malaysia, jangan sia-siakan peluang ini kerana ia mungkin haji pertama dan terakhir untuk kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN