Jana pendapatan hasil latihan keusahawanan - Utusan Malaysia

Jana pendapatan hasil latihan keusahawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKUMPULAN pelancong kelihatan mengelilingi Baharin Sunta, 64, selepas tertarik dengan sumpit, tabung damak dan replika perahu jalur hasil kerja tangannya yang dipamerkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini, Pekan, Pahang baru-baru ini.

Tidak kekok bercerita kepada pelanggan yang berkunjung ke gerainya, lelaki Orang Asli suku Jakun itu sesekali menggunakan isyarat tangan untuk menerangkan cara penggunaan sumpit yang diperbuat daripada kayu rengas merah.

Bapa kepada 11 orang cahaya mata itu menjelaskan, selain menjual hasil kraf tangan, dia melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga termasuk menoreh getah, menangkap ikan dan membuat perahu jalur bagi kegunaan penduduk setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mewarisi kemahiran membuat perahu jalur daripada arwah bapa. Sekitar tahun 1990-an, saya mula berminat membuat kraf tangan seperti ukiran lastik dan tongkat menggunakan ilmu pertukangan kayu yang dimiliki.

“Namun, hasil kraf tangan ini tidak selalu dibeli orang. Begitu juga dengan perahu yang bukan selalu ditempah,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di sekolah yang terletak di Kampung Gumum, Tasik Chini, Pahang baru-baru ini.

Namun, landskap kehidupan Baharin berubah selepas dia menyertai program keusahawanan anjuran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) yang diperkenalkan sejak tahun 2011.

Luar negara

Mempunyai bengkel sendiri di Kampung Tanjung Puput dengan bantuan lima orang pekerja termasuk anak-anaknya, Baharin yang dahulunya meraih pendapatan sekitar RM200 sebulan hasil jualan kraf berupaya meningkatkan jumlah itu kepada purata RM7,500 sebulan.

Katanya, program kemahiran pengurusan perniagaan dan pembangunan produk itu membantu membawa hasil kerja tangannya ke luar negara termasuk pernah menyertai pameran kraf tangan di Indonesia dan Britain beberapa tahun lalu.

Dia juga boleh berbangga apabila produknya turut dipamerkan di Galeri Seni Kome, Genting Higlands.

“Saya masih ingat, jika dahulu barangan sama yang dihasilkan mungkin berharga sekitar RM30 hingga RM40. Paling mahal pun RM90 selain kadang-kadang ada orang minta diskaun dan sebagainya.

“Namun, ia boleh melonjak kepada ratusan ringgit jika dijual di lokasi pelanggan yang menghargai hasil kerja seperti ini.

“Lagipun, material seperti kayu meranti yang digunakan untuk membuat replika perahu jalur tidak mudah diperoleh,” luahnya.

Berbeza pula dengan kisah Juliana Puling, 42, yang mengikuti kursus anyaman kelolaan ECER selama dua bulan bermula Februari lalu.

Dia kini mampu membuka kedai sendiri untuk menjual hasil anyaman yang turut dibelinya daripada penduduk kampung lain.

“Pada mulanya, saya tidak begitu pandai menganyam dan hanya melakukannya untuk kegunaan sendiri.

“Namun, apabila ada guru yang memang pakar dalam bidang ini, saya dapati banyak produk yang boleh dikomersialkan seperti tumbu (bakul bertangkai) dan ambung (bakul mengangkut padi).

“Tujuan saya mendalami ilmu menganyam ini adalah untuk mengekalkan identiti nenek moyang kami yang kreatif dalam bidang ini,” ujarnya.

Bagi Saharil Din, 31, melakukan hanya satu pekerjaan tidak cukup untuk menyara keluarga serta anak-anak yang kian membesar dalam kehidupan serba moden.

Justeru, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai latihan jangka pendek penyelenggaraan motosikal di samping mendapat bantuan peralatan yang diperlukan.

“Selepas dua bulan mengikuti kursus ini, saya sudah pandai menukar rantai, tayar dan mengetahui selok-belok baiki enjin motosikal. Boleh ambil upah baiki motosikal orang kampung.

“Selain itu, saya juga mengusahakan tanaman getah dan berkebun secara kecil-kecilan.

“Lagipun kerja jaga (pengawal keselamatan) ada syif. Jadi, boleh lakukan pekerjaan lain seperti membaiki motosikal pada waktu malam atau pada masa lapang,” ujar bapa kepada tiga anak masing-masing berusia 2, 4 dan 13 tahun itu.

Dalam pada itu, Tok Batin, Awang Alok, berkata, kebanyakan penduduk Orang Asli di Tasik Chini yang terdiri daripada 750 keluarga kesemuanya bergantung kepada ekonomi sara diri.

Katanya, perusahaan kraf atau aktiviti perniagaan tidak begitu meluas dalam kalangan komuniti yang mendiami lima kampung iaitu tiga di kawasan pulau meliputi Kampung Pulau Melai Kampung Tanjung Puput, Kampung Cendahan dan bahagian daratan iaitu Kampung Ulu Gumum serta Kampung Gumum.

“Jika dilihat di kawasan pulau, kebanyakan penduduk tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik dan terpaksa bergantung kepada generator.

“Jalan akses masuk ke kampung juga tiada seperti di Kampung Cendahan. Ini antara cabaran yang perlu dihadapi penduduk.

“Justeru, saya melihat campur tangan daripada pihak kerajaan, badan korporat, termasuk universiti untuk membantu penduduk amat kami hargai.

“Misalnya projek pendidikan tenaga solar yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini,” ungkapnya.

Manfaat

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John menjelaskan, pelan pembangunan modal insan meliputi pemerkasaan pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan hasil pembangunan pelancongan diharap dapat mengubah kehidupan Orang Asli.

Ia dilihat sebagai satu usaha penting agar kelompok masyarakat tersebut tidak tersisih daripada program transformasi yang dirancang.

Setakat ini, seramai 1,250 peserta Orang Asli di Pahang telah mendapat manfaat daripada program pembangunan yang dijalankan.

Selain itu, melalui program Empower ECER-MyKasih iaitu kerjasama antara ECERDC dan Yayasan MyKasih, seramai 118 pelajar Orang Asli dari SK Tasik Chini menerima manfaatnya.

Program itu bertujuan membantu pelajar Orang Asli untuk mempertingkatkan prestasi akademik mereka melalui penyediaan kelas tuisyen dan motivasi secara percuma dengan mengambil kira tuntutan gaya hidup kumpulan sasar.

“Antara projek yang dijalankan ialah menaik taraf asrama yang dinamakan Villa Gumum di SK Tasik Chini pada tahun lalu bagi menyediakan penginapan yang selesa untuk pelajar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×