SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang kini meringkuk di dalam Penjara Sungai Buloh, Selangor bakal berdepan satu lagi pertuduhan baharu terhadapnya. Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tuduhan baharu itu adalah mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar dari negara ini tanpa mengikuti laluan sah.
Katanya, pertuduhan baharu itu adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh pihaknya sejurus Jamal diekstradisi ke negara ini dari Indonesia pada 5 Julai lalu.
“Tarikh sebutan semula kes itu adalah pada 31 Julai depan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sini semalam.
Jika sabit kesalahan, Jamal boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.
Berikutan tuduhan baharu itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan menghadapi lima pertuduhan secara keseluruhan.
Empat pertuduhan sebelum ini adalah dua melibatkan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan masing-masing satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam serta Seksyen 224 akibat melarikan diri daripada tahanan yang sah di sisi undang-undang.









