KLANG 10 Julai – Kawasan sekitar Taman Sentosa dekat sini memerlukan perhatian segera pihak berwajib ekoran keadaan jalan di situ rosak teruk sejak sekian lama.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati kualiti jalan raya yang rendah berpunca daripada pihak kontraktor yang mahu keuntungan segera sehingga menidakkan spesifikasi pembinaan jalan yang betul.
Kegagalan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memantau dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan turut didakwa menjadi punca jalan di situ rosak berulang.
Sehubungan itu, orang ramai mengesa pihak MPK segera turun padang meninjau seterusnya membaik pulih jalan rosak di kawasan itu.
Rata-rata pengguna mahu pihak berkuasa tempatan itu memberi pembelaan kepada mereka yang selama ini terpaksa berdepan risiko akibat jalan rosak teruk di kawasan itu.










