CADANGAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pengambilan pemain naturalisasi untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan memerlukan kajian yang lebih terperinci sebelum keputusan dibuat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, usul berhubung pemain naturalisasi tidak boleh diambil mudah selain menggesa pihak terlibat agar membincangkan perkara itu secara mendalam.
Katanya, tidak ada jalan pintas untuk melakar kejayaan, lebih-lebih lagi dalam bidang sukan yang memerlukan usaha serta pengorbanan tinggi daripada semua pihak termasuk atlet itu sendiri.
“Berhubung usul untuk mengambil pemain naturalisasi, bagi saya perkara berkenaan perlu dibincangkan serta diperhalusi sebaik-baiknya kerana tidak ada jalan mudah untuk memperoleh kejayaan.
“Saya sentiasa tegaskan pembangunan peringkat akar umbi merupakan sesuatu yang sangat penting dalam memastikan lebih ramai pemain negara boleh dihasilkan.
“Mereka inilah yang akan kembali memartabatkan bola sepak negara,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Ehime di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Gabenor Wilayah Ehimei, Tokihiro Nakamura.
Sebagai rekod, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyuarakan cadangan untuk mengambil pemain naturalisasi bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan ranking pasukan negara yang kian merosot.
Pada masa sama, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar sudah mengadakan perbincangan bersama Hamidin berhubung hala tuju Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) serta bantuan yang boleh diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Sebelum ini saya ada bertemu Hamidin dan kami berbincang mengenai hala tuju bola sepak Malaysia.
“Kami di KBS akan cuba memberi bantuan sebaik mungkin serta bersama FAM bagi memastikan bola sepak negara terus berkembang.
“Pihak saya juga sudah meminta FAM untuk membentangkan pelan jangka pendek serta panjang berhubung NFDP.
“Ia bertujuan mencari titik persamaan antara KBS dan FAM bagi memastikan program itu terus berkembang,” ujarnya.









