KUALA LUMPUR 16 Julai – Ketua kontinjen Sukan Asia 2018 negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menerima keputusan penamatan khidmatnya selaku Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) dengan hati terbuka namun tidak menjangka dibuat sebelum temasya di Indonesia bermula.
Katanya, dia telah menerima surat penamatan khidmatnya itu pagi hari ini yang dihantar menerusi serahan tangan oleh wakil kementerian dan keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Tambah Abdul Azim keputusan itu bukan pengakhiran kariernya dalam sukan kerana masih berpeluang menabur bakti selaku Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Saya terima keputusan ini dan telah menjangka akan berlaku kerana jawatan saya adalah menerusi lantikan politik oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu (Khairy Jamaluddin).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerja ISN yang telah banyak memberikan kerjasama baik kepada saya semasa memegang jawatan Pengerusi ISN.
“Walaupun sudah tidak lagi menggalas tugas sebagai Pengerusi ISN namun saya tetap akan menjalin hubungan baik selaku Timbalan Presiden Majlis MOM dan ketua kontinjen Sukan Asia dalam persediaan menghadapi temasya di Indonesia,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan Persatuan Pelayaran Malaysia di Wisma MOM hari ini.
Abdul Azim dilantik mengetuai ISN pada Mei 2017 dengan institusi berkenaan turut bertanggungjawab menyelia program elit iaitu Program Podium.
Sewaktu menjawat jawatan Pengerusi ISN, perkara pertama dilakukan oleh beliau adalah menambah baik pengurusan organisasi berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali mengesahkan bahawa Abdul Azim telah ditamatkan perkhidmatannya selaras dengan saranan kerajaan untuk menamatkan khidmat pegawai lantikan politik.
Tambah Lokman, selain jawatan Pengerusi ISN, turut terlibat adalah Ahli Lembaga dalam agensi kementerian tersebut yang dilantik oleh kerajaan dahulu.
“Buat masa ini pengganti untuk jawatan Pengerusi ISN masih di peringkat perbincangan dengan Menteri dan pihak kami mengucapkan terima kasih kepada Abdul Azim atas sumbangannya kepada organisasi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Lokman turut memberitahu bahawa tiada apa-apa perubahan di peringkat pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlaku buat masa ini.
“Bagi jawatan Ketua Pengarah MSN akan kekal milik Datuk Ahmad Shapawi Ismail. Jawatan itu adalah lantikan hakiki manakala hanya jawatan yang telah tamat tempoh sahaja akan berubah,” jelasnya.










