KUALA LUMPUR 12 Julai – Indonesia akan menyediakan kawalan keselamatan ketat untuk lebih 17,000 atlet serta pegawai yang bakal berkampung di negara itu sepanjang Sukan Asia 2018, janji Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia 2018 (INASGOC), Erick Thohir.
Menurut Erick, temasya yang bakal berlangsung di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September itu bakal menyaksikan penambahan 20 peratus penyertaan berbanding di Incheon, Korea Selatan empat tahun. Ia melibatkan atlet serta pegawai dari 45 buah negara.
Kata Thohir, 100,000 anggota polis dan tentera akan dikerah untuk menjaga keselamatan sepanjang temasya berlangsung, manakala pihak berkuasa bakal menggunakan teknologi pengecaman wajah di sesetengah lokasi.
“Kami juga akan memastikan, negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik yang baik tidak diletak di hotel yang sama,” kata Erick kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jakarta, hari ini.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi percaya, isu keselamatan yang timbul menjelang Sukan Asia 2018 tidak akan menggugat atlet Malaysia.
Bagi atlet antarabangsa, insiden pengeboman yang mengorbankan 30 orang di Surabaya, Mei lalu mencetus kebimbangan terhadap keselamatan mereka sepanjang berada di Indonesia.
Untuk kontinjen Malaysia pula, kritikan yang dilemparkan netizen Indonesia berikutan beberapa isu melibatkan penganjuran Sukan SEA 2017, termasuk insiden cetakan bendera Indonesia secara terbalik pada buku cenderahati temasya itu meresahkan mereka.
“Kami tak rasa masalah keselamatan akan jadi sesuatu yang menggugat atlet-atlet kita,” kata Abdul Azim dalam sidang media selepas mesyuarat penyelarasan Sekretariat Sukan Asia antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) di ISN di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Azim berharap, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan menteri Kabinet dapat menyertai majlis penyerahan bendera kepada atlet negara ke temasya tersebut.
“Tarikh yang disarankan untuk penyerahan bendera sama ada pada 7 atau 8 Ogos…Kami akan serah cadangan kepada pejabat Menteri (Belia dan Sukan) untuk mendapat keputusan daripada menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).
“Pada 8 Ogos merupakan hari mesyuarat Jemaah Menteri, jadi kami mungkin boleh buat di tempat mesyuarat itu, jika 7 Ogos mungkin boleh diadakan di kawasan berdekatan Parlimen.
“Kalau boleh sebagai pembaharuan, kami nak seluruh barisan kabinet datang beri semangat kerana selalunya hanya Menteri Belia dan Sukan yang hadir,” katanya yang juga Timbalan Presiden MOM.










