DIILHAMKAN daripada kenangan manis zaman kanak-kanak Pengarah Kreatif Amouage, Christopher Chong dan pengalaman pertama menjejakkan kaki di bandar raya New York, maka terhasillah Imitation.
Kata Chong, Imitation adalah satu sorotan peribadi menceritakan bagaimana satu detik dan satu pengalaman boleh mengubah persepsi seorang kanak-kanak terhadap dunia. Penceritanya adalah dirinya sendiri yang menceritakan mengenai pengalamannya.
“Wangian ini lahir daripada ingatan dan pengalaman melihat salji buat pertama kali di New York semasa saya kanak-kanak pada tahun 1970 an. Saya menimba pengalaman ini menerusi binaan kubah salji, mengimbau sebuah kota yang penuh dengan ketegangan dan perpindahan,” ujar Chong.
Imitation Man adalah hasil sentuhan Chypre dan Kulit yang menggambarkan era keberanian dan kebebasan. Cedrat dan campuran rempah-ratus misteri menjadi pembuka tirai wangian bagi menghidupkan semula suasana warna-warni dan berbilang budaya jalanan.
Kelembutan baldu dan vinil terserlah selepas mendapat senyuhan Violet dan Orris, membentuk keharuman yang melambangkan mood dan pesona era disko.
Bagi mencipta suasana berasap, haruman dasar Kulit dan Vitiver diperkukuh oleh keharuman Patchouli dan Myrrh yang membawa semangat keberanian.
Imitation Woman pula membawakan keharuman flora sebagai satu penghargaan bagi era yang tidak dapat dilupakan.
Putik Anggur Hitam, Aldehid dan Likuoris membentuk haruman utama. Keharuman digandakan dengan wangian flora mawar, kenanga, bunga oren dan melur. Tidak pula mengenepikan dupa, kayu cendana dan minyak nilam. – UTUSAN ONLINE










