“PADA petang 16 Julai 1990, saya bersama beberapa orang rakan yang lain sedang berada di dalam kelas. Secara tiba-tiba, kami dikejutkan dengan satu gegaran kuat sebelum dinding bilik darjah mula runtuh.
“Kesemua kami terperangkap dalam timbunan konkrit dan tidak sempat lari menyelamatkan diri. Panik dengan situasi itu, kami menjerit sekuat hati meminta pertolongan,” jelas Ferdino Mempin, 42.
Malangnya, jeritan dari suara kecil itu tidak didengari oleh sesiapa.
Menurut Mempin yang pada waktu itu berusia 14 tahun, selepas hampir tujuh jam terperangkap, dia semakin takut apabila melihat beberapa orang rakannya menjadi semakin lemah akibat kelaparan dan mengalami kecederaan.
“Pada waktu itu keadaan sekeliling menjadi sangat gelap. Ada yang menangis dan ada juga yang mengerang kesakitan.
“Bagaimanapun, penderitaan tersebut tidak berpanjangan apabila kami semua berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat keesokan harinya,” jelas Mempin.
Mempin merupakan salah seorang penduduk di Nueva Acija, Pulau Luzon, Filipina yang terselamat dalam kejadian gempa bumi berpusat di Dingalan berukuran 7.7 pada skala Richter yang berlaku pada 16 Julai 1990.
Isnin lalu, genap 28 tahun tragedi paling buruk menimpa Pulau Luzon terutamanya yang mendiami kawasan Dingalan, Aurora dan Cuyapo, Nueva Ecija.
Laporan daripada Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina mendedahkan, gegaran tersebut menyebabkan rekahan bawah tanah sepanjang 125 kilometer dari Dingalan sehingga Kayapa, yang terletak di Nueva Vizcaya.
Gempa susulan
Gempa bumi yang berlaku selama 45 saat pada pukul 4.30 petang itu menyebabkan kemalangan jiwa dan kemusnahan besar di beberapa buah bandar seperti Manila dan Nueva Ecija yang terletak kira-kira 88 kilometer dari utara ibu negara Filipina itu.
Selain itu, kawasan tersebut turut mengalami beberapa gempa bumi susulan berukuran 5.6 pada skala Richter selang beberapa minit selepas tragedi tersebut berlaku.
Susulan daripada kejadian tersebut, lebih 1,660 orang dilaporkan terkorban, manakala 3,513 orang cedera dan 752 orang dilaporkan hilang.
Berdasarkan laporan pihak berkuasa, angka kematian yang dilaporkan tinggi kerana pada waktu itu ramai penduduk berada di luar kawasan rumah atas tuntutan kerja dan bersekolah.
Dalam pada itu, Kolonel Jeff Tamayo yang mengetuai operasi menyelamat dari Akademi Tentera Filipina di Baguio berkata, lebih 20 pasukan penyelamat yang dilengkapi dengan kren telah dikejarkan ke lokasi-lokasi terlibat seperti di bangunan-bangunan pejabat, hotel dan sekolah-sekolah bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Putus hubungan
Bagaimanapun, usaha tersebut tergendala hampir lima jam apabila runtuhan tanah dan bangunan menghalang laluan utama untuk ke lokasi kejadian.
“Situasi menjadi semakin buruk apabila bekalan elektrik dan talian telekomunikasi turut terputus kesan daripada gegaran kuat itu.
“Untuk berhubung mendapatkan bantuan dari luar, kami terpaksa bergantung kepada komunikasi menggunakan signal daripada stesen radio di Baguio yang kemudiannya menghantar kesemua pesanan secara terus kepada pihak berkuasa di Manila.
“Bukan itu sahaja, menara kawalan lapangan terbang di sini juga terpaksa ditutup akibat ketiadaan bekalan elektrik sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membatalkan kesemua penerbangan pada hari kejadian dan tiga hari berikutnya,” jelasnya.
Menurut Tamayo lagi, rata-rata mangsa yang mati merupakan individu yang menginap di hotel.
“Gegaran kuat menyebabkan bangunan hotel yang tinggi dan bertingkat-tingkat di kawasan berdekatan runtuh serta memerangkap kesemua penghuni di dalamnya.
“Disebabkan operasi menyelamat tertangguh hampir lima jam dan ditambah pula dengan kesukaran untuk menggali runtuhan konkrit, banyak nyawa tidak dapat diselamatkan.
“Bagaimanapun, kami lega kerana kesemua pelajar yang terperangkap dalam runtuhan gempa bumi selamat biarpun ada sebahagian daripada mereka mengalami kecederaan parah,” jelasnya.
Menurut Tamayo lagi, operasi menyelamat mengambil masa sehingga seminggu sementara kerja-kerja pembersihan kawasan yang terlibat pula memakan masa hampir dua bulan lamanya.
Biarpun berhadapan dengan pelbagai kesukaran, Tamayo berbangga kerana dia berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua dengan baik dalam operasi menyelamat mangsa gempa bumi terburuk di Filipina pada tahun 1990.










