KOTA BHARU 18 Julai – Hong Leong MSIG Takaful membayar zakat perniagaan berjumlah RM30,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Asri Omar berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada lebih RM90,000 zakat perniagaan yang ditunaikan bagi tahun kewangan berakhir 2016/2017.
Mohd Asri berkata, peratus agihan zakat yang besar diberikan kepada negeri ini memandangkan prestasi cawangannya di sini yang memberangsangkan terutamanya dalam pemasaran produk melalui khidmat ejen.
“Cawangan Kota Bharu mencatat nilai pemasaran produk melalui ejen yang kedua tertinggi atau lebih 30 peratus daripada perolehan keseluruhan.
“Penduduk negeri ini juga lebih ramai yang menunjukkan minat kepada produk takaful berbanding negeri lain,”katanya di pejabat wilayah Hong Leong MSIG Takaful di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan cek zakat perniagaan kepada Ketua Pegawai Pembangunan Maik, Nik Jessim Nik Hashim.
Yang turut hadir, Ketua Jabatan Keluarga Hong Leong MSIG Takaful, Syed Mohd Redzo Syed Abd Rahman dan Pengurus Wilayah Timur, Mohd Zulkiflee Mamat. – UTUSAN ONLINE










