HIV bermula dengan LGBT? - Utusan Malaysia

HIV bermula dengan LGBT?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI seorang saintis muda, saya sudah lama tertarik dengan kemunculan dan penularan virus HIV yang menjadi punca penyakit dikenali sebagai Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS).

Walaupun mula dikesan dalam manusia sekitar 1980-an, HIV dipercayai sudah beratus-ratus tahun wujud sebagai jangkitan biasa dalam koloni mawas yang tinggal di dalam hutan-hutan tebal benua Afrika.

Memuatkan artikel berkaitan…

Satu ciri menarik kuman pembawa penyakit (virus, bakteria atau fungi) adalah setiap jenis wujud khusus untuk menjangkiti spesies tertentu sahaja dan amat jarang sekali melompat ke spesies lain.

Apabila sejenis virus yang hidup dalam mawas tiba-tiba ‘melompat’ kepada manusia, pasti telah berlaku sesuatu kejadian drastik membuka laluan untuk membolehkannya merebak.

Kaedah utama HIV merebak adalah melalui darah kebiasaannya akibat luka, suntikan mahupun pemindahan darah tercemar. Persoalannya, bagaimana ‘darah mawas’ masuk ke dalam manusia pertama yang dijangkiti HIV?

Antara teori yang tidak begitu popular di Barat adalah aktiviti songsang antara manusia dan mawas. Mungkin juga disebabkan memotong atau memakan daging mawas yang tidak masak tetapi pastinya bukan virus bawaan nyamuk seperti Japanese Encephalitis (JE).

Ketika HIV dan AIDS mula dikenal pasti dalam badan manusia di Amerika Syarikat, satu persamaan yang kerap ditemui penyelidik adalah kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mangsa yang tidak terlibat dengan LGBT pula didapati mendapat jangkitan selepas menerima darah tercemar, berkongsi jaram dadah atau hubungan seks heteroseksual (normal) tetapi rata-ratanya dikesan kembali kepada seorang pengamal LGBT.

Walaupun pesakit pertama yang membawa masuk HIV dari Afrika tidak pernah dikenal pasti, hampir kesemua kes awal dijangkiti virus tersebut mempunyai kaitan dengan golongan LGBT.

Gaya hidup songsang khususnya hubungan seks secara liwat dikenal pasti menjadi satu cara pantas menyebabkan HIV merebak kerana mudah menyebabkan kesan luka pada dubur dan zakar pelaku, seterusnya membuka ‘jalan masuk’ untuk virus tersebut.

Ramai saintis yang percaya gaya hidup songsang menjadi punca HIV merebak dalam kalangan manusia tetapi teori ini langsung tidak diterima Barat bagi menjaga kepentingan LGBT.

Memandangkan gerakan LGBT di Malaysia juga semakin kuat, saya ingin berkongsi pandangan bahawa HIV dan AIDS itu peringatan besar daripada Tuhan supaya kita tidak melanggar hukum alam.

Jika pejuang LGBT mahu menghalalkan hubungan sejenis, kelak mungkin muncul pula pejuang hubungan seks dengan haiwan, sumbang mahram, pedofilia (seks dengan kanak-kanak) dan banyak lagi perkara tidak masuk akal.

Hidup bukan sekadar untuk mengikut nafsu serakah. Jika HIV dan AIDS tidak menimbulkan rasa gentar untuk meneruskan aktiviti LGBT, mungkin Tuhan akan turunkan bala penyakit lebih teruk daripada itu kelak.

SAINTIS MUDA

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×