Hasni pikul beban, tugas berat - Utusan Malaysia

Hasni pikul beban, tugas berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 14 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu, Datuk Ir. Hasni Mohammad berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan sekali gus komited untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu sedar dan mengakui akan beban dan tugas berat yang menanti terutama bagi Johor, tempat lahirnya UMNO di mana ramai yang mengharapkan parti membuat perubahan dan memimpin semula negeri ini.

“Kita perlu meneruskan perjuangan UMNO ini bermula dari sekarang kerana sesungguhnya ahli UMNO dan pengundi di Johor ini ‘sophisticated’ dan untuk itu, kita perlulah mengambil kira setiap harapan mereka agar beroleh kejayaan.

“Untuk membina semula keyakinan terhadap UMNO ini memerlukan masa, maka, kita perlukan mereka yang betul-betul komited sebagai ‘core’ dan sedia berkorban demi masa depan agama bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Hasni yang juga Ketua Pembangkang di negeri ini turut berterima kasih kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang banyak berjasa dan sudah melakukan yang terbaik untuk UMNO Johor semasa menjadi pengerusinya.

Beliau percaya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO itu masih menjadi ahli jawatankuasa badan perhubungan UMNO negeri akan terus memberikan bantuan serta berkongsi pengalaman demi kelangsungan UMNO Johor.

“Terima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan UMNO melantik saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negreri Johor. Tahniah juga kepada negeri lain yang terdiri daripada muka lama dan baharu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN