GUA MUSANG – Harga durian jenis Musang King yang jatuh merudum RM20 sekilogram minggu lalu dijangka bertambah mahal pada minggu depan.
Pengusaha durian di Kampung Pulai di sini, Chong Yok Fon, 50, atau mesra dipanggil Tina berkata, perniagaannya memang terkesan sebelum ini lantaran lambakan raja buah itu yang jatuh pada paras harga di luar dugaan.
“Bagaimanapun, pada minggu ini, harga durian itu semakin tinggi apabila telah mula dijual pada harga antara RM35 hingga RM40 sekilogram.
“Situasi itu sebenarnya didorong oleh keupayaan kebanyakan para pengusaha durian kini yang sudah dapat mengeksport durian Musang King ke luar negara. Justeru, kita mengandaikan harganya akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini semalam.










