KUALA LUMPUR 8 Julai – Walaupun memiliki pelanggan yang ramai namun Kedai Gunting Rambut Stylo tidak pernah pernah melupakan golongan tidak bernasib baik termasuklah gelandangan.
Baru-baru ini, mereka menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada golongan tersebut selepas melakukan aktiviti yang sama kepada orang ramai sebelum ini.
Program yang dipanggil ‘Potong Rambut Percuma’ itu diadakan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur bersebelahan Kolej SEGI. Lebih 60 orang diberi perkhidmatan gunting rambut percuma manakala lebih 100 orang lagi menerima kit penjagaan kesihatan.
Untuk rekod Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan terdapat kira-kira 2,000 orang gelandangan di ibu negara. Walaupun atas keprihatinan mereka mendapat bantuan makanan melalui Kumpulan ‘Soup Kitchen’ namun mereka masih memerlukan barang keperluan seperti kit penjagaan kesihatan dan khidmat menggunting rambut.
Lanjutan itulah, Kedai Gunting Rambut Stylo mengambil inisiatif melakukan aktiviti amal tersebut bagi memenuhi hasrat mereka. Bagi membolehkan program berjalan lancar dan berkesan, kedai gunting rambut tersebut bekerjasama dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) khususnya dari segi pembelian kit penjagaan kesihatan dan tenaga sukarelawan.
Pengerusi GPMS Selangor, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, pemberian kit penjagaan kesihatan dan khidmat menggunting rambut itu dilaksanakan selepas mendapati golongan gelandangan bukan sekadar memerlukan bantuan makanan tetapi juga aspek lain.
“Sepanjang tiga tahun melaksanakan program membantu gelandangan, kami diberitahu terlalu banyak makanan diberikan, oleh itu kami mula merancang untuk membantu mereka dari aspek keperluan asas lain.
“Melalui kerjasama dengan Kedai Gunting Rambut Stylo, satu program yang selama ini jarang dilakukan telah berjaya dilaksanakan,’’ katanya.










