Graduan PTSS bukti kemampuan catat kejayaan kerjaya di Thailand - Utusan Malaysia

Graduan PTSS bukti kemampuan catat kejayaan kerjaya di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 10 Julai – Seorang graduan akauntan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini, membuktikan bahawa mereka bukan sahaja boleh diterima bekerja di luar negara malah mampu mencipta kejayaan yang cemerlang di sebuah syarikat perhotelan bertaraf antarabangsa.

Penerima Anugerah Diraja Yayasan Tuanku Syed Putra 2018 sempena Majlis Konvokesyen PTSS Ke-12, Tan Zhi Yao, 23, berkata, dia bekerja sebagai eksekutif jualan di Hotel Le Meridien Phuket Beach Resort, Thailand, sebaik sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang Diploma Akauntan tahun lalu.

Katanya yang berperwatakan ceria, berkat kesungguhannya bekerja di negara jiran itu, dia kemudian telah dinaikkan pangkat sebagai Penyelaras Jualan Antarabangsa, baru-baru ini.

“Saya banyak mengguna pakai pengetahuan dalam bidang akautan semasa bekerja di Thailand di samping menjalankan tugas hakiki sebagai pencari pelanggan hotel untuk musim-musim tertentu khususnya dari China,” katanya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan pingat dan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Zhi Yao dan penerima lain majlis konvokesyen tersebut.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Zhi Yao berkata demikian ketika ditemui semasa hadir majlis tersebut bersama ibunya, Saruda Ekachaiwitwatkul, 54, dan bapanya, Tan Kim Seng, 56.

Dalam pada itu, Zhi Yao yang berasal dari Padang Besar dekat sini berkata, dia merancang untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana muda dalam bidang sama atau pun perguruan.

Katanya, universiti pilihan pula adalah sama ada di Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Namun pada masa ini, saya masih ingin menimba pengalaman bekerja,” katanya yang menguasai empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Thailand.

Pada majlis itu, seramai 1,412 orang graduan lulusan diploma dalam pelbagai bidang menerima sijil masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN