Gempa Lombok: Malaysia sedia hulur bantuan - Utusan Malaysia

Gempa Lombok: Malaysia sedia hulur bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Julai – Malaysia bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada tragedi gempa bumi di Lombok, Indonesia termasuk bantuan mencari dan menyelamat melalui pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan Malaysia melalui pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengenalpasti serta menghubungi waris kesemua mangsa warganegara Malaysia yang terlibat.

“Pihak kedutaan juga sedang memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada kesemua mangsa rakyat Malaysia yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hari ini mengesahkan seorang rakyat Malaysia telah terkorban sementara enam lagi cedera dalam kejadian gempa bumi terbabit.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua mangsa berada di kaki Gunung Rinjani ketika kejadian berlaku dan pihak kedutaan telah menghubungi waris mangsa berhubung kejadian tersebut.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 Skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat serta Lombok jam 5.47 pagi tadi dan dilaporkan seramai 10 orang telah maut manakala 40 cedera setakat ini.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.

Menurut laporan BMKG, berlaku 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga jam 7.39 pagi ini. Gegaran susulan gempa itu di bawah lima Skala Richter.

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki juga ditutup kerana dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah memberitahu, beliau sedih menerima berita kejadian gempa bumi berkenaan.

“Saya ingin rakamkan ucapan takziah buat keluarga kesemua mangsa kejadian ini. Saya doakan mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN