JAKARTA – Gempa bumi berkuatan 5.5 pada skala Richter melanda Padang di Sumatera Indonesia menyebabkan penduduk kota Minangkabau itu dilaporkan bertempiaran lari keluar dari kediaman dan bangunan.
Gempa pada pukul 2.55 petang waktu tempatan itu dilaporkan berpusat sembilan kilometer arah tenggara Padang dengan kedalaman 10 kilometer di bawah tanah.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), kejadian pada pukul 2.45 petang tadi itu merupakan yang paling kuat setakat ini dan ia adalah susulan enam gempa yang berlaku sebelumnya iaitu sejak pukul 2.58 pagi tadi.
Gempa pertama dicatatkan pada pukul 2.58 pagi tadi pada 4.7 skala Richter yang berpusat di Mentawai, Sumatera Barat dan disusuli gempa berskala rendah.
Gempa itu dilaporkan tidak berpotensi berlaku tsunami.
Menurut media Indonesia, penduduk dilaporkan bertempiaran lari keluar dari bangunan dan kediaman dalam kejadian petang tadi.
Setakat ini, belum ada maklumat atau laporan berhubung kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa. – Bernama










