Gandingan anak-beranak PH curi tumpuan - Utusan Malaysia

Gandingan anak-beranak PH curi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Julai – Persidangan Dewan Rakyat kali ini cukup unik, bukan hanya perubahan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), malah penampilan anak-beranak yang turut mencuri tumpuan ramai.

Antaranya Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Moha­mad dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun); Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) bersama Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Iskandar Putri) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (Bagan).

Bagi Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah, meskipun teruja untuk bersama-sama bapanya mewakili kerajaan dalam persidangan Parlimen kali ini, beliau tetap berasa kekok.

Perasaan itu timbul kerana persidangan kali ini merupakan gandingan pertama kali beliau bersama bapanya dalam barisan kerajaan.

“Memang saya rasa kekok sebab kali pertama menceburi bidang politik selepas ayahanda bersara daripada jawatan dalam kerajaan dan parti pada 2008.

“Ini takdir Allah, rasa pelik sikit apabila masuk dalam dewan sebab ayahanda ada dalam dewan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Berkongsi perasaan sama, Nurul Izzah berkata, beliau bangga dapat melihat ibunya yang juga Timbalan Perdana Menteri berada di dalam dewan.

“Saya bangga melihat ibu dan berdoa supaya beliau dapat me­nunaikan tanggungjawab seperti yang dijanjikan kepada rakyat.

“Namun begitu, kami sentiasa menyedari kemenangan kali ini adalah atas izin Allah dan ia bukan sekadar memegang jawatan penting sebaliknya amanah yang cukup besar,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, beliau sentiasa mengi­ngatkan anaknya, Guan Eng supaya berpegang kepada prinsip memenuhi tanggungjawab yang diberikan rakyat dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN