KUALA LUMPUR 30 Julai – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun disaran mempertimbangkan pelaksanaan penggantungan kerja terhadap mana-mana ketua polis daerah (KPD) yang gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membanteras judi haram.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, penggantungan maksimum selama tiga tahun wajar dilaksanakan sebagai memberi mesej bahawa isu berkaitan judi tidak boleh dipandang remeh dan perlu dibanteras habis-habisan.
Pada masa sama, beliau berharap agar Mohamad Fuzi terus mempamerkan sikap konsisten berhubung isu tersebut dan dapat memperluaskan tindakan pertukaran serta-merta ke seluruh negara sekiranya didapati KPD gagal dalam menjalankan tugas.
“Kalau kita tengok, pusat judi yang berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga tumbuh bak cendawan selepas hujan sekarang. Perkara ini berdasarkan maklumat yang diterima JMM melalui emel, mesej dan panggilan telefon daripada orang ramai.
“Dalam hal ini, Ketua Polis Negara menunjukkan sikap proaktif dan terpuji, tindakan seperti ini merupakan suatu amaran bahawa tiada siapa lebih berkuasa daripada undang-undang. Mana-mana kesalahan wajar dikenakan hukuman dan tidak perlu diselindung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan Mohamad Fuzi turun padang mengetuai operasi Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membanteras pusat perjudian haram di 10 premis sekitar Jalan Bandar Rawang 3, Bandar Baru Rawang kelmarin.
Dalam laporan itu, Mingguan Malaysia turut difahamkan KPD Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad diarah bertukar serta-merta ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol sebagai Komandan yang dipercayai ada kaitan dengan operasi berkenaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah berpendapat, tindakan Ketua Polis Negara adalah tepat pada masanya kerana jika diperhatikan aktiviti perjudian di negara ini masih lagi berleluasa.
“Kuasa untuk menukar mana-mana pegawai polis adalah hak Ketua Polis, tindakan Mohamad Fuzi perlu dijadikan iktibar dan pengajaran supaya sentiasa berikan perhatian serius dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Saya cadangkan supaya anggota polis belajar tentang nilai agama, kita tahu polis terdedah kepada unsur rasuah dan ugutan. Hanya melalui agama sahaja segala permasalahan dapat diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd. Isa berkata, tindakan Mohamad Fuzi mengetuai operasi tersebut menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggotanya sendiri berhubung isu judi yang merupakan musuh utama negara.
Katanya, PDRM sebagai pihak yang diberikan kuasa untuk melaksanakan tindakan bagi melindungi masyarakat perlu bertindak tegas dan tidak seharusnya tunduk kepada sebarang faktor luaran.










