LONDON – Pendatang baharu Liga Perdana England (EPL), Fulham melakar kejutan apabila berjaya mengetepikan saingan Arsenal, Chelsea dan Napoli bagi mendapatkan khidmat bintang Nice, Jean Michael Seri.
Difahamkan, Fulham berjaya membawa masuk pemain tengah itu dengan yuran perpindahan £26.5 juta (RM140.7 juta) biarpun klausa pelepasan pemain tersebut bernilai £35 juta (RM185.8 juta).
Selepas melakukan 103 penampilan serta menjaringkan 12 gol bersama Nice, akhirnya Seri membuat keputusan untuk berhijrah dan menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Fulham.
“Satu hari yang cukup panjang, namun saya gembira kerana perpindahan ini berjaya dimuktamadkan. Sekarang saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan serta jurulatih baharu.
“Saya sangat gembira dan bangga untuk berada di sini. Bermula sekarang, saya akan mengharungi cabaran baharu bersama Fulham dan berharap ia berjalan lancar,” kata Seri.
Sementara itu, pemilik pasukan, Tony Khan percaya kehadiran Seri di Fulham sebagai sesuatu yang sangat positif berdasarkan pengalaman serta kualiti dimiliki pemain berusia 26 tahun itu.
“Jean Michael (Seri) datang ke sini dengan kualiti yang sangat sesuai dengan EPL, jadi tidak hairanlah mengapa kami begitu terdesak mendapatkan khidmatnya. Saya gembira kami kembali ke saingan EPL bersama pemain sepertinya,” ujar Khan. – Agensi











