MUAR 27 Julai – Fuad Tukirin, diumum sebagai Ketua UMNO Bahagian Bakri pada pemilihan semula bahagian itu di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di sini petang tadi selepas dua calon lain menarik diri pada saat akhir.
Kedua-dua calon yang menberikan laluan itu ialah Pemangku Ketua bahagian berkenaan, Datuk Hassan Johari dan Timbalannya, Datuk Mohamed Mustafa Abdul Kadir.
Turut diumumkan menang tanpa bertanding Datuk Lokman Md. Don yang diberi kemenangan percuma oleh pencabarnya, Azman Ismail bagi jawatan Timbalan Ketua bahagian yang baharu.
Seramai 20 daripada 34 calon yang bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian juga dipilih tanpa bertanding selepas 12 calon lain menarik diri.
Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Ismail Sharif memenangi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian setelah menewaskan dua calon lain.
Beliau memperolehi 188 undi, manakala Kahar Mahsuri 161 undi dan Othman Mazlan mendapat 61 undi.
Sementara jawatan Pengerusi Tetap, Othman Taib menewaskan penyandangnya, Bahar Siran.
Othman memperolehi sebanyak 413 undi manakala Bahar mendapat sebanyak 80 undi.
Bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap pula, Md. Maliki Yassin mendapat 315 undi menewaskan Mansor Sera yang mendapat 162 undi.
Sidang pemilihan semula itu diselaraskan Jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang diketuai ketuanya, Datuk Ir. Hamim Samuri, manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Shamsol Bari Jamali, mengetuai pemantauan mesyuarat yang berakhir 9.30 malam ini.
UMNO Bakri yang merupakan satu-satunya bahagian di Johor yang melakukan pemilihan semula selepas sebelum bilangan undi didapati lebih daripada jumlah perwakilan yang hadir.- UTUSAN ONLINE










