Exco Negeri Sembilan isytihar harta - Utusan Malaysia

Exco Negeri Sembilan isytihar harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 18 Julai – Seramai 10 ahli Exco kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) hari ini menyerahkan dokumen pengisytiharan harta masing-masing kepada kerajaan negeri.

Dokumen itu diserahkan kepada Menteri Besar, Aminuddin Harun dalam satu majlis di Wisma Negeri di sini.

Yang turut hadir ialah semua ahli Exco berkenaan kecuali Mohamad Nazaruddin Sabtu.

Selain itu, majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ramli Ismail.

Aminuddin berkata, pengisytiharan itu bagi memenuhi janji PH kepada rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Pengisytiharan ini mencerminkan kesungguhan PH dalam memaparkan ketelusan, keberanian dan keikhlasan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pengisytiharan itu akan dipaparkan dalam portal kerajaan negeri dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Tambahnya, ia boleh dilihat selama tiga bulan sebelum dikeluarkan daripada portal tersebut.

“Ia akan dipaparkan lagi dalam tempoh tiga tahun akan datang. Tetapi jika ada penambahan atau pelupusan harta, ahli Exco yang terlibat perlu membuat pengisytiharan semula,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN