GENEVA – Myanmar telah menahan berpuluh-puluh pelarian Rohingya yang cuba kembali ke rumah mereka, kata ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus mempersoalkan keikhlasan program penghantaran pulang oleh kerajaan.
Myanmar sebelum ini berkata, kerajaan bersedia menerima kira-kira 700,000 umat Islam Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu, tetapi setakat ini kurang daripada 200 orang ditempatkan semula di negeri Rakhine.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein berkata, pejabatnya menerima laporan bahawa 58 etnik Rohingya yang cuba kembali ke Rakhine ditangkap dan disabitkan atas tuduhan yang tidak ditentukan.
“Mereka kemudian menerima pengampunan presiden, tetapi hanya dipindah dari penjara Buthidaung ke pusat penerimaan yang disebut dalam keadaan yang sama seperti penahanan pentadbiran,” kata Zeid dalam kenyataan lisan tentang krisis itu kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Myanmar telah menandatangani perjanjian dengan Bangladesh dan PBB yang membentangkan rangka kerja pemulangan etnik Rohingya berskala besar, tetapi hanya segelintir pelarian memutuskan untuk kembali, sementara para pegawai bantuan kanan menegaskan Rakhine masih terlalu berbahaya untuk penghantaran pulang.
Penduduk Rohingya melarikan diri daripada keganasan tentera bermula Ogos tahun lalu yang menyaksikan insiden rogol oleh pasukan keselamatan, pembunuhan dan kempen kekerasan tanpa belas kasihan yang digambarkan PBB sebagai pembersihan etnik.
Zeid berkata, terdapat bukti bahawa kekejaman di Rakhine masih berlaku termasuk pembunuhan dan pembakaran rumah penduduk di sana.
Lebih 11,000 orang melarikan diri dari Rakhine tahun ini, kata Zeid dalam satu petanda bahawa kekejaman masih memaksa penduduk menjadi pelarian. – AFP











