MOSCOW – Presiden bola sepak Croatia (HNS), Davor Suker percaya pasukan England sepatutnya sudah tersingkir pada pusingan 16 terbaik dan hanya bernasib baik untuk mara ke pusingan separuh akhir menjelang pertemuan kedua-dua pasukan awal pagi Khamis nanti.
Sebagai rekod, England berjaya menewaskan lawannya di pentas 16 terbaik, Colombia dengan penentuan sepakan penalti yang menyaksikan penjaga gol, Jordan Pickford muncul wira Three Lions.
Kata Suker yang menyaksikan aksi yang dipamerkan England menentang Colombia minggu lalu, skuad kendalian Gareth Southgate itu sepatutnya tersingkir sekiranya pasukan gergasi Amerika Selatan itu memanfaatkan peluang terhidang.
“Saya rasa England cukup bertuah apabila berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir. Jika mereka tidak bernasib baik, pasukan itu sudah tewas di tangan Colombia yang mempamerkan aksi cukup menarik dalam saingan 16 terbaik minggu lalu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Suker mengakui peluang negaranya yang bakal bertemu dengan England di pentas separuh akhir sebagai 50-50.
“Saya akui England mempamerkan peningkatan mendadak di bawah kendalian Southgate. Namun, begitu juga dengan pasukan kami yang menonjolkan corak permainan menarik sepanjang kempen Piala Dunia ini.
“Apa yang pasti, saya jangkakan perlawanan yang seimbang dan harapan saya agar pasukan terbaik melangkah ke final,” katanya. – Agensi










