Ekspresi Anak Seni dalam Suara - Utusan Malaysia

Ekspresi Anak Seni dalam Suara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelajar Program Pengajian Asasi Seni Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bakal mempersembahkan pementasan Projek Seni Asasi (ProSA Mania) berjudul Suara selama dua hari bermula malam ini.

Persembahan yang berlangsung di Panggung Eksperimen Aswara itu akan bermula pada pukul 8.30 malam.

Menurut Ketua Program Pengajian Asasi Seni Kreatif Aswara, Rosman Ishak, persembahan tersebut merupakan acara tahunan yang dijayakan oleh pelajar program tersebut dengan bimbingan pensyarah.

“Sepanjang pementasan, penonton disajikan dengan gabungan kerja seni lakon, tari, muzik dan multimedia yang dipelajari pelajar-pelajar tersebut.

“Persembahan ini merupakan inisiatif bagi program pengajian tersebut untuk menonjolkan bakat dan potensi pelajar dalam bidang seni persembahan serta pengurusan produksi,” katanya ketika ditemui pada sesi raptai penuh pementasan tersebut malam tadi.

Pementasan teater itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Suara mengisahkan perjalanan tiga individu yang mempunyai dunia berbeza dan terpaksa menghadapi cabaran demi merealisasikan impian mereka untuk bergelar anak seni.

Tiga individu tersebut ialah Hilmi, seorang pekerja berdedikasi dan amat meminati bidang muzik menjadikan aktiviti busking sebagai peluang untuk menambah pendapatan bagi menyara ibu serta adiknya yang menghidap penyakit autisme.

Emma pula merupakan pelajar seni kreatif yang meminati bidang tarian dan bercita-cita untuk menghabiskan pengajian di peringkat tertinggi manakala Sarah pula adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai impian untuk menjadi pelukis. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN