ECRL diyakini tingkat ekonomi Pahang - Utusan Malaysia

ECRL diyakini tingkat ekonomi Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 23 Julai – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mana kewujudan laluan itu dapat merancakkan lagi kegiatan pelaburan dan membantu pertumbuhan ekonomi.

Baginda bertitah, pembina­an ECRL akan meningkatkan jalinan hubungan kawasan eko­nomi dan perindustrian dari Pelabuhan Kuantan di sini hingga ke Tumpat, Kelantan serta Pelabuhan Klang di Selangor.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula kos pembinaan laluan kereta api ini.

“Saya berharap dengan terbinanya laluan kereta api ini kelak, lebih banyak kawasan pertumbuhan ekonomi bakal diwujudkan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Baru-baru ini, pentadbiran Kerajaan Pusat yang diketuai oleh Pakatan Harapan memberitahu bahawa terma-terma dalam projek ECRL akan dinilai semula berikutan kos keseluruhan pelaksanaannya mencecah RM60 bilion.

Tengku Abdullah bertitah, kerajaan negeri wajar membangunkan infrastruktur bagi merancakkan lagi kegiatan pelaburan yang dapat meningkatkan hasil negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Menerusi perancangan y­ang teliti dan peningkatan infrastruktur berterusan, titah baginda, Pelabuhan Kuantan berpotensi muncul sebagai pelabuhan utama di wilayah Pantai Timur serta menjadi ‘gerbang’ utama ke Asia Pasifik.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan kesyukuran dengan kelulusan sebanyak 300 projek bernilai RM2.2 bilion pada tahun lalu untuk negeri ini dalam Rolling Plan Ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Baginda berharap agar ke­sinambungan RMK-11 di negeri ini dapat diteruskan lagi ter­utama berhubung projek-projek yang memberi impak terus kepada rakyat.

“Adalah bertepatan bagi Ke­rajaan Persekutuan dan kerajaan negeri saya untuk terus bekerjasama tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Saya turut menggesa supaya kerajaan negeri menyokong usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara seterusnya negeri saya,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN