DUKUNGAN MEMARTABAT BAHASA MELAYU - Utusan Malaysia

DUKUNGAN MEMARTABAT BAHASA MELAYU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

URUSAN kerajaan yang sememangnya rasmi wajib dikendalikan dari segi aspek kebahasaan, dalam hanya bahasa Melayu, yang merupakan bahasa negara yang mendukung dua peranan sekali gus, sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dalam konteks sebagai bahasa rasmi, dengan jelas lagi tegas, penggunaan bahasa Melayu diwajibkan.

Ini dapat dilihat pada Perlembagaan Persekutuan (PP) pada Perkara 152 yang mengandungi enam bahagian. Bahagian 1(a) menyatakan keperluan wajib menggunakan bahasa Melayu untuk maksud rasmi. Bahagian 6 pula menjelaskan maksud rasmi yang merujuk khusus kepada urusan kerajaan, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri dan badan awam. Selain PP, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (ABK) yang terdiri daripada sepuluh bahagian, ikut menyatakan keperluan wajib ini pada Bahagian dua.

Dengan catatan perundangan ini, adalah amat jelas bahawa urusan rasmi kerajaan wajib dikendalikan dalam bahasa Melayu sahaja, lebih-lebih lagi dalam bentuk tulisan.

Maka dengan pernyataan yang tegas ini, urusan kerajaan tidak boleh sesekali dikendalikan dalam bahasa lain, kecuali bahasa Melayu sahaja atas dasarnya selaku bahasa rasmi negara dan tunggal.

Peranan bahasa rasmi sama sekali tidak sama dengan peranan bahasa kebangsaan yang lebih bersifat simbolik, antaranya sebagai lambang kepada kedaulatan negara. Bahasa rasmi rata-ratanya bersifat fungsional, iaitu digunakan dalam semua sistem negara.

Antaranya adalah pentadbiran, pendidikan dan perundangan. Ini kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang dipilih khas oleh kerajaan untuk digunakan dalam semua urusannya.

Oleh itu, bahasa Melayu wajib digunakan, dan bukannya bahasa lain, seperti bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin dan Tamil, untuk komunikasi rasmi dengan warganegara sendiri.

Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa Inggeris untuk kegunaan khalayak asing dibenarkan kerana kita memilih bahasa Inggeris untuk tujuan komunikasi antarabangsa kita.

Bahasa vernakular, misalnya Mandarin yang diiktiraf dalam sistem pendidikan negara, sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya untuk urusan kerajaan, sama ada dalam bentuk surat atau notis, dan lain-lain yang sifatnya bertulis dan formal pula.

Hal ini perlu difahami semua pihak, lebih-lebih lagi oleh ketua pentadbiran dalam agensi kerajaan, yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, seperti dinyatakan pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 oleh Kerajaan Malaysia, dalam Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Walaupun Bahagian 3 ABK membenarkan terjemahan dilakukan ke dalam bahasa lain untuk tujuan komunikasi yang mangkus, ia tidak sepatutnya digunakan lagi pada masa ini.

Ini kerana setelah sekian lama kita bernegara Malaysia, yang menyaksikan rakyat dengan jayanya melalui sistem pendidikan negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya.

Dengan ini, secara umumnya, semua rakyat Malaysia patut sudah boleh memahami bahasa Melayu dengan baik. Justeru ia tidak perlu lagi diterjemahkan ke bahasa lain. Namun, ini bukan hakikatnya.

Yang berlaku kini ialah selepas sesuatu itu dinyatakan dalam bahasa Melayu, yakni bahasa negara ini, ia perlu dijelaskan dalam bahasa Inggeris untuk dimaklumi golongan elit, bahasa Mandarin bagi pemahaman kaum Cina dan bahasa Tamil untuk dimengertikan kaum India.

Dengan hakikat sebegini, iaitu penggunaan sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai bahasa utama di negara ini, kita sebenarnya langsung tiada solidariti sebagai satu komuniti nasional yang mendukung satu aspirasi linguistik yang serupa.

Perkara begini, yakni penggunaan empat bahasa sebagai bahasa utama dalam sesebuah negara, atas apa-apa jua nama, sama ada kemajmukan atau kepelbagaian, sebenarnya menunjukkan rakyatnya masih berpuak-puak.

Sesuatu sangat-sangat perlu dilakukan dalam aspek pembentukan negara bangsa ini, yang tidak keterlaluan jika dikatakan telah gagal.

Kepincangan

Bahasa yang sememangnya boleh menyatukan manusia, yang telah terbukti berjaya di merata tempat sepanjang sejarah dunia, nampaknya gagal dimanfaatkan di negara ini, walaupun hasratnya telah lama wujud pada Laporan Razak 1956 dan diangkat dalam Akta Pendidikan Negara 1961 dan 1996, untuk diusahakan bagi menyatukan anak bangsa melalui bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Apakah rancangan kerajaan baharu yang amat berhasrat melakukan reformasi institusi yang besar, dalam soal bahasa Melayu selaku alat perpaduan? Termasuk juga bahasa Melayu sebagai alat kemajuan!

Banyak kepincangan sebelum ini berjaya ditemui dan dijanjikan akan dirungkai untuk penambahbaikan.

Sehubungan ini, bagaimana dengan bahasa Melayu yang tidak berjaya direalisasikan sebagai bahasa perpaduan, dengan wujudnya polarisasi kaum yang cukup dahsyat bermula di sekolah, berterusan di institusi pendidikan ringgi dan mantap di tempat kerja.

Dalam usaha melakukan reformasi institusi setakat ini oleh kerajaan baharu, belum kelihatan secara nyata bagaimana jawatankuasa petugas yang dibentuk itu mahu menangani masalah perpaduan, khususnya melalui penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara kita.

Perpaduan bukan sahaja kunci keharmonian sosial, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, ia juga pemangkin kepada kemajuan negara dalam segenap susuk.

Oleh itu, usaha gigih perlu digemblengkan untuk merealisasikan kejayaan mendukung satu bahasa sebagai bahasa utama negara dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

Dengan mendukung hanya satu bahasa sebagai bahasa utama negara, bahasa lain terus boleh wujud dan berkembang mengikut taraf yang ditetapkan pada Dasar Bahasa kita. Di dalamnya, bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah bahasa paling penting di negara ini.

Bahasa Mandarin, walaupun berupa bahasa dunia kerana bilangan penuturnya yang begitu agam, bahasa media massa di radio, televisyen dan akhbar di samping berupa bahasa perhubungan luas di Malaysia, Singapura selain China, Taiwan dan Hong Kong, ia tetap vernakular di negara ini.

Dengan ini, ia bermakna bahasa Mandarin adalah bahasa komuniti dan etnik Cina sahaja, biarpun dibenarkan wujud dalam sistem pendidikan negara.

Ia tidak boleh lebih daripada itu, antaranya digunakan untuk menggarap nasionaliti Malaysia untuk pelbagai hal kenegaraan lain, atas apa-apa jua dalil, sama ada globalisasi, pluralisme, atau era baharu.

Penulis ialah Felo Utama Bersama di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN