GEORGE TOWN – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung (Cawangan) dan Sekolah Antarabangsa Tenby di sini ditutup bermula kelmarin apabila terdapat jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dalam kalangan murid.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, enam kelas bagi tahun satu hingga tahun tiga di SJKC Phor Tay turut diarah tutup sejak kelmarin berikutan terdapat murid dijangkiti HFMD.
“Sebelum ini hanya satu kelas masing-masing di Sekolah Antarabangsa Tenby dan SJKC Shih Chun diarah tutup namun hasil pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Kesihatan negeri, kami mengambil keputusan untuk menutup sepenuhnya sekolah itu.
“Kita juga mengenal pasti terdapat murid di SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun dijangkiti HFMD dan kita masih menjalankan pemantauan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya di sini semalam.











