Dua pelajar Unisel nyaris maut, kereta bertembung lori di persimpangan lampu isyarat - Utusan Malaysia

Dua pelajar Unisel nyaris maut, kereta bertembung lori di persimpangan lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Dua pelajar Universiti Selangor (Unisel) nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di simpang tiga Jalan Raja Musa – Ladang Tanamaram di sini petang tadi.

Akibat kejadian berkenaan, kedua-dua pelajar lelaki berusia 19 tahun itu tersepit dalam kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba, Sahidallah Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.36 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian kami mendapati terdapat dua pelajar lelaki tersepit dalam kereta itu. Seorang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan seorang lagi di bahagian belakang.

“Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurut Sahidallah yang juga bertindak sebagai komander operasi, penumpang kereta itu mengalami kecederaan patah kaki kiri dan luka di bahagian kepala dan tangan manakala pemandu kereta luka di bahagian kepala.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan dan di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×